57 rakyat Malaysia di Syria boleh pulang, kata KPN

khalid-syria

PUTRAJAYA: Polis tidak akan menghalang 57 rakyat Malaysia yang menyertai militan Islamic State (IS) di Syria yang dikatakan tertekan dan mahu pulang ke negara ini.

“Jika mereka nak balik, kita akan terima. Mereka adalah rakyat Malaysia. Tetapi penerimaan itu terpulang kepada kita,” kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar ketika ditemui pemberita di Hotel Dorsett di sini hari ini.

“Sudah tentu apabila mereka tiba di sini, kita akan soal siasat dan akan menentukan sama ada mereka dibenarkan untuk berada di sini bersama masyarakat.”

Beliau berkata demikian mengulas laporan Berita Harian mengenai rakyat Malaysia di Syria yang berada dalam keadaan tertekan apabila “ibu negeri” IS di Raqqa, Syria diserang tentera bersekutu dari pelbagai sudut.

Ketua Penolong Pengarah Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman Datuk Ayub Khan Mydin Pitchay berkata pihaknya mendapat maklumat ramai anggota militan sedang mencari jalan keluar dari kawasan bergolak itu.

Kempen pelbagai fasa oleh Syria Democratic Forces (SDF), disokong serangan udara dan penasihat dari tentera bersekutu yang diketuai Amerika Syarikat, bertujuan mengasingkan Raqqa daripada kawasan sekitar yang dikawal IS.

Semalam, jurucakap tentera bersetuku berkata SDF berjaya membersihkan kawasan utara dan timur Raqqa.