Adun Kepayan ugut keluar DAP jika digugurkan pada PRU14

Edwin-Bosi-3PETALING JAYA: DAP Sabah berdepan risiko kehilangan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kepayan apabila penyandangnya, Dr Edwin Bosi mengancam bertanding sebagai calon Bebas jika beliau digugurkan daripada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Bosi yang dipetik The Star berkata, beliau sudah meminta penjelasan daripada Pengerusi DAP negeri, Stephen Wong susulan khabar angin parti itu tidak akan menurunkan beliau sebagai calon untuk mempertahankan kerusi itu.

“Sekiranya parti tidak mempertimbangkan saya untuk mempertahankan kerusi Kepayan pada PRU14, saya akan memilih untuk menjadi calon Bebas,” katanya dipetik akhbar itu.

Tiga hari lalu, Bosi dilaporkan berkata, beliau akan mengeluarkan satu kenyataan atau mengadakan sidang media hari ini bagi mendedahkan sama ada akan kekal dengan DAP.

“Saya akan mendedahkan keputusan saya pada 13 April. Jika saya jawab sekarang, saya tidak akan ada apa-apa untuk dikatakan pada Khamis, tambahan pula DUN masih bersidang,” katanya kepada wartawan di perkarangan DUN.

Timbalan pengerusi DAP Sabah itu memenangi kerusi Kepayan pada PRU 2013 dengan majoriti 7,000 undi dalam pertandingan 4 penjuru. Bagaimanapun, ada khabar angin mengatakan beliau bercadang meninggalkan DAP, walaupun Bosi sendiri menafikan spekulasi itu.

Ia susulan dakwaan sebuah portal tempatan yang Bosi akan meninggalkan DAP dan menyertai Parti Cinta Sabah (PCS) yang diketuai Adun Tamparuli, Wilfred Bumburing.

Jika beliau keluar parti, Bosi bukan pemimpin DAP Sabah yang pertama berhenti dalam masa kurang setahun.

Adun Likas, Junz Wong yang merupakan setiausaha DAP Sabah, meletak jawatan pada 2 Oktober 2016 dan menyertai Parti Warisan Sabah. Ia disusuli Timbalan Pengerusi negeri, Joan Goh dan Naib Pengerusi, George Hiew.

Pada 2013, Adun Luyang, Hiew King Chiu meninggalkan DAP untuk menyertai MCA.