Ahmadinejad cuba kembali presiden, engkar nasihat agamawan Iran

Ahmadinejad

ANKARA: Bekas presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad membuat kejutan semalam dengan mendaftarkan dirinya sebagai calon pilihan raya presiden, walaupun dinasihati supaya tidak berbuat demikian oleh pemimpin tertinggi negara itu, Reuters melaporkan.

Ahmadinejad yang satu ketika dulu dimusuhi Amerika Syarikat kerana kerap mempersoalkan pengaruh Israel, sebelum ini pernah mengejutkan ramai pihak apabila beliau yang dilihat masih baru dalam politik menewaskan bekas presiden Akbar Hashemi Rafsanjani pada pilihan raya 2005.

Tahun lalu, pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei berkata beliau menasihatkan Ahmadinejad tidak kembali bertanding.

Semalam, Ahmadinejad memberitahu Khamenei sekadar memberi “nasihat”.

Walaupun beliau sebelum ini dipuji Khamenei atas kelantangannya, agamawan Iran dilihat berhati-hati dengan bekas datuk bandar Tehran itu.

Di bawah perlembagaan Iran, seseorang presiden hanya boleh bertanding 2 kali, dan perlu meletak jawatan selepas itu sebelum dibenarkan bertanding lagi selepas 4 tahun.

Pada 2013, Hassan Rouhani yang dilihat sebagai agamawan “moderat” memenangi pilihan raya presiden dengan majoriti besar.

Permohonan Ahmadinejad untuk bertanding bagaimanapun masih perlu mendapat kebenaran majlis 12-anggota dilantik Khamenei yang mempunyai kuasa memantau calon.

Kelompok agamawan di Iran yang menyokong Khamenei sebelum ini menuduh Ahmadinejad cuba membawa Islam yang dicampur aduk dengan nasionalisme.

Ahmadinejad, anak seorang tukang besi, dilihat sebagai pemimpin rakyat dan dijulang penduduk miskin Iran.

Bagaimanapun, pengkritiknya berkata pandangan Ahmadinejad menyebabkan Iran disisihkan di arena antarabangsa.