Amanah: Jika benar dakwaan Rafizi, terjawab sikap pelik PAS pada 2013

Khalid-Samad_rafizi_600

SHAH ALAM: Amanah tidak pelik dengan dakwaan bekas pemimpin PAS menerima dana 1MDB dari akaun perdana menteri pada 2013 seperti didakwa Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli.

Ketua penerangannya, Khalid Abdul Samad berkata, sekiranya apa yang didedahkan Rafizi itu benar, maka ia menjawab sikap pelik PAS pada Pilihan Raya Umum 2013.

“Sama ada ia berlaku atau tidak, itu Rafizi kena buktikan kerana dia mengeluarkan kenyataan itu. Sekiranya ia berlaku, tak hairan bagi saya.

“Saya tidak berani nak kata sebab bukti tidak ada dengan saya, tapi sekiranya benar, maka ianya menjawab banyak persoalan sehingga ke hari ini ramai yang masih tidak faham (Datuk Seri Abdul) Hadi (Awang) bertindak sepertimana dia bertindak pada ketika itu.

“Sebagai contoh persoalan pada 2013, PAS bertindak sebagai ‘pengacau’ di mana pada waktu itu semua aman, orang nampak kerjasama PR (Pakatan Rakyat) begitu baik dan mantap.

“Tiba-tiba, di kerusi Kota Damansara, berlaku 3 penjuru, di Kuala Terengganu dan Perak 6 kerusi bertindih, calon PKR dituduh jual pil kuda di tengah pilihan raya waktu itu,” katanya merujuk perubahan sikap PAS bermula 2013 sehingga menyaksikan terkuburnya Pakatan Rakyat.

Bekas ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu berkata, pemimpin PAS bersikap aneh selepas PRU13 apabila mereka mendesak hubungan parti itu dengan PKR dan PR dikaji semula.

“Walaupun kita sebagai AJK PAS pusat pada waktu itu, ianya tidak dimaklumkan kepada semua dan ia merupakan pendirian dan sikap yang diputuskan seorang diri atau dengan kumpulan tertentu.

“Selepas 2013, kita nampak sikap PAS terhadap PR sudah berubah, berlakunya multaqa ulama pada 2013 dan dikemukakan usul dikaji kembali hubungan PAS dengan PKR dan PR dan semua benda pelik berlaku,” kata ahli Parlimen Shah Alam itu yang keluar daripada PAS dan menyertai Amanah pada 2015.

Semalam, Rafizi dalam satu kenyataan berkata, beliau akan mendedahkan identiti bekas pemimpin PAS yang menerima dana 1MDB melalui akaun peribadi Datuk Seri Najib Razak, dalam sidang media jam 1 tengah hari ini.

Pengumuman itu akan disiarkan secara langsung di Facebooknya dan beliau akan membuat laporan di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya jam 11 pagi Jumaat.

Isnin lalu, Rafizi dilaporkan berkata, beliau mempunyai bukti mengenai individu terbabit yang merupakan jambatan antara Umno dan PAS.

Rafizi: Bekas timbalan presiden PAS Nasharudin terima wang 1MDB

Bekas pemimpin kanan dakwa tak tahu PAS terima dana 1MDB

Rafizi dedah bekas pemimpin PAS terima dana 1MDB esok