Ambrin harap jabatan audit lebih bebas

Ambrin-Buang_ringgit_malaysia_600

KUALA LUMPUR: Tan Sri Ambrin Buang yang bersara baru-baru ini selepas 11 tahun berkhidmat sebagai ketua audit negara berharap kebebasan jabatan itu dapat diperkasakan lagi pada masa akan datang.

Menurut beliau, Jabatan Audit Negara (JAN) perlu diperkasakan dari segi kebebasan daripada kawalan luar jabatan serta diberi autonomi dari segi pengurusan sumber manusia dan bajet.

Dalam temu bual dengan Bernama baru-baru ini, Ambrin yang bersara pada 22 Februari lalu berkata, langkah ini penting ke arah menjadikan jabatan itu institusi audit negara bertaraf dunia dan setanding negara maju.

Berikut transkrip penuh temu bual berkenaan.

Laporan ketua audit negara banyak membantu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan lanjut dan membawa kes ke mahkamah dalam usaha memerangi ketirisan dalam pengurusan kewangan negara.

Sebagai contoh kes membabitkan pegawai kanan Jabatan Air Negeri Sabah berdasarkan sebahagian kecil saja audit dijalankan ke atas kementerian dan agensi kerajaan. Apa JAN perlukan jika usaha itu hendak merangkumi semua secara menyeluruh?

Disebabkan kekangan sumber seperti anggota dan bajet, sukar bagi JAN membuat pengauditan menyeluruh setiap tahun meliputi setiap jabatan dan agensi kerajaan di peringkat persekutuan, negeri dan tempatan.

Dari segi pengurusan kewangan kebanyakan jabatan dan agensi diaudit setiap 3 tahun bagi menentukan Indeks Akauntabiliti mereka, satu jangka masa yang difikir mencukupi memantau penambahbaikan yang perlu dilakukan oleh mereka.

Dari segi pengauditan prestasi aktiviti jabatan dan agensi kerajaan, sebilangan kajian akan dijalankan mengikut rancangan audit tahunan JAN.

Selain itu JAN menjalankan pengauditan khas atas permintaan agensi tertentu seperti SPRM, Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan Kementerian Kewangan.

Sekarang ini setiap minggu SPRM buat tangkapan dan pendedahan mengenai kes rasuah dan orang ramai berpuas hati dengan tindakan SPRM itu yang menunjukan keseriusan mereka menangani jenayah itu.

Adakah perlu JAN mengeluarkan laporannya setiap minggu, dan bukannya 3 kali setahun seperti amalan sekarang? Maknanya setiap minggu JAN membuat pendedahan mengenai kepincangan pengurusan kewangan negara oleh kementerian dan agensi.

Proses pengauditan dan penyediaan laporan audit berkenaan memerlukan ketelitian dan masa.

Misalnya 4 hingga 5 bulan diperlukan mengaudit prestasi sebelum penyediaan laporan yang hanya dimuktamadkan selepas mengadakan ‘exit conference’ dengan pihak diaudit yang disertai wakil SPRM dan lain-lain agensi pusat.

Sukar JAN membentang laporan audit lebih kerap dari amalan sekarang mengambil kira keupayaan JAN dari segi sumber manusia dan bajet.

Selalunya JAN dilihat membuat audit selepas masalah dan kerugian berlaku. Bolehkah JAN mengambil ‘pre-emptive action’ sebelum masalah dan kerugian itu berlaku?

Mengambil kira keupayaan terhad mengaudit setiap jabatan dan agensi kerajaan yang banyak sekali gus adalah sukar bagi JAN mengambil ‘pre-emptive action’.

Namun jika diberi maklumat atau tips JAN boleh menjalankan penyiasatan.

Tanggungjawab mengambil ‘pre-emptive action’ terserah kepada ketua jabatan dan agensi sendiri sebagai pegawai pengawal.

Mereka boleh menggunakan mekanisme yang sedia ada seperti audit dalaman, jawatankuasa pengurusan kewangan dan akaun, dan jawatankuasa audit dengan memastikan mekanisme ini benar-benar berkesan dan mengambil tindakan ‘corrective’ dan ‘punitif’ sewajarnya.

Sejauh mana kementerian dan agensi kerajaan membuat tindakan pembetulan selepas teguran dibuat laporan ketua audit negara?

Sejak beberapa tahun lepas kerajaan mewajibkan ketua jabatan dan agensi kerajaan mengambil tindakan pembetulan terhadap teguran audit dan tindakan ini dipantau sendiri oleh JAN secara berterusan dan dilaporkan kepada masyarakat menerusi sistem AG’s Dashboard (paparan susulan laporan ketua audit negara) yang boleh diakses bila-bila masa.

Bagaimana Ambrin melihat JAN 10 tahun akan datang?

JAN mampu menjadi institusi audit negara bertaraf dunia dan setanding dengan negara maju sekiranya diperkasakan dari segi kebebasan daripada kawalan oleh cabang eksekutif negara serta diberi autonomi dari segi pengurusan sumber manusia dan bajet. Ini memerlukan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan.

Apakah pengalaman yang tidak boleh lupakan sepanjang 11 tahun menjadi ketua audit negara?

Antaranya ialah pengauditan ke atas kes berprofil tinggi seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Port Klang Free Zone (PKFZ) dan National Feedlot Corporation (NFCorp).

Melaksanakan sistem Index Akauntabiliti bagi pengurusan kewangan sektor awam, melaksanakan pengkaderan unit audit dalam, menubuhkan Institut Audit Tertinggi ASEAN (ASEANSAI), pelantikan sebagai pengerusi Pertubuhan Audit Negara Asia (Asosai) dan mempengerusikan Jawatankuasa tindakan AG’s Dashboard.

Saya berterima kasih kepada Malaysia yang menyokong inisiatif memperkasakan peranan JAN membantu meningkatkan kecekapan dan keberkesanan perkhidmatan awam dalam pengurusan kewangan dan pembangunan negara.

Apakah perancangan Ambrin selepas bersara?

Buat masa ini saya merancang menulis buku mengenai pengalaman saya.