Anggota Kabinet Sabah tandatangani ikrar bebas rasuah SPRM

musa-aman-sprmKOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman dan 10 anggota Kabinet negeri hari ini melafaz dan menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) yang diperkenalkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Turut melafaz dan menandatangani IBR di Bilik Rafflesia, Dewan Undangan Negeri dan disaksikan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad ialah 18 pembantu menteri.

SPRM dalam kenyataannya hari ini mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada kerajaan negeri Sabah kerana mengambil inisiatif menandatangani IBR bagi mempertingkatkan integriti dan memastikan pentadbiran kerajaan negeri dilaksanakan dengan lebih telus serta bebas daripada gejala rasuah dan salah guna kuasa di segenap peringkat.

Menurut kenyataan itu, IRB merupakan antara usaha baharu SPRM yang menekankan ikrar serta janji dalam kapasiti individu oleh mereka yang diamanahkan tanggungjawab agar menghindari sebarang gejala rasuah dan salah guna kuasa sepanjang melaksanakan tugas.

“Setiap jentera pentadbiran kerajaan perlu mencerminkan wajah institusi yang bersih dan bebas daripada sebarang anasir rasuah,” menurut kenyataan itu.

SPRM berharap inisiatif itu akan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap usaha SPRM dan kerajaan negeri Sabah dalam usaha berterusan memerangi jenayah rasuah dan salah guna kuasa.