Bekas pekerja ladang tuntut Berjaya tunai janji 18 tahun

estate-workers-protest

KUALA LUMPUR: Lebih 200 bekas pekerja ladang mengadakan bantahan di pusat bandar hari ini bagi menuntut rumah teres yang dijanjikan Berjaya Corporation Berhad 18 tahun lalu.

Bantahan di depan Berjaya Times Square itu menyaksikan bekas pekerja ladang Berjayacity yang kini dikenali sebagai Berjaya, menuntut organisasi itu menyediakan 245 rumah teres kos rendah bersubsidi penuh yang dijanjikan kepada semua pekerja di 5 ladang di Batang Berjuntai.

Merea datang dari Ladang Mary, Ladang Sungai Tinggi, Ladang Bukit Tagar, Ladang Nigel Gardner dan Ladang Minyak.

Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM), S Arutchelvan yang mewakili bekas pekerja ladang itu berkata, mereka mengadakan bantahan hari ini kerana bimbang Berjaya tidak akan memenuhi janji yang dibuat 18 tahun lalu.

Arutchelvan memberitahu pemberita Berjaya membuat beberapa janji kepada pekerja ladang sejak mengambil alih ladang daripada syarikat Perancis, Kumpulan Socfin, 18 tahun lalu.

“Sejak 1998, mereka membuat beberapa janji. Salah satunya menyediakan rumah yang pernah dibincangkan Berjaya dengan exco negeri Selangor ketika itu, K Sivalingam,” katanya.

Kumpulan itu kemudiannya diajak membincangkan perkara itu lebih lanjut dengan pegawai Berjaya di sebuah auditorium dalam Berjaya Times Square, tetapi pengamal media tidak dibenarkan masuk.

Selepas mesyuarat itu, Arutchelvan menerusi sidang media ringkas berkata, Pengarah Berjaya, Zurainah Musa bersetuju menangani rayuan mereka.

Bagaimanapun, Arutchelvan berkata, Berjaya tidak memperincikan bila rumah itu akan dibina.

“Kami menghargai kesudian Berjaya berdialog dengan kami, tetapi jika mereka terus mengabaikan kami, kami akan membawa perkara ini ke jalanan lagi,” katanya.

Beliau berkata, Berjaya juga berjanji tidak akan memberhentikan pekerja sedia ada atau bekas pekerja sehingga isu perumahan alternatif itu diselesaikan.

Katanya, pada 2008, Berjaya menawarkan tanah seluas 4,000 kaki persegi kepada setiap keluarga di ladang Mukim Sungai Tinggi, merujuk surat diberikan kepada Berjaya oleh Dr Mohd Khir Toyo selaku menteri besar Selangor ketika itu.

Bagaimanapun, pada Mac 2016, 57 pekerja ladang diberikan notis pengusiran selepas Berjaya menjual ladang kepada Kumpulan Prosper pada Oktober 2015.

“Seramai 57 pekerja diberikan notis pengusiran oleh Kumpulan Prosper dengan alasan mereka tidak lagi bekerja di ladang itu,” kata Arutchelvan.