KUALA LUMPUR: Pemimpin gerakan Baju Merah, Datuk Seri Jamal Yunos bersama 9 pengikutnya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini atas dakwaan merusuh ketika sebuah “roadshow” Bersih 5 diadakan di Ampang, tahun lalu.
Jamal bersama Reza Jamin, Ariffin Abu Bakar, Mohd Shabudin Abu Hassan, Izzrul Idris, Hasannen Zikri Harizan, Mohd Faiz Amirul Mahsan, Mohd Yusoff Mohd Sharif, Abd Razak Hassan dan R Balaguru didakwa di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu pada 13 November 2016 di Pusat Beli-belah Ampang Point. Jika sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara maksimum 2 tahun atau denda atau kedua-duanya.
Mereka turut berdepan 1 pertuduhan alternatif di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955. Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda sehingga RM100.
Hakim Rushan Lufti Mohamed membenarkan ikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin kepada setiap tertuduh atas 2 pertuduhan itu.
Mahkamah menetapkan 3 Mei ini sebagai sebutan semula kes itu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya ialah Iskandar Ahmad, manakala Jamal bersama 9 pengikutnya diwakili Khairul Annuar Yussof serta Izzat Zabir Sariff.
Pada September 2016, ketua Umno Bahagian Sungai Besar itu dilaporkan berkata, gerakan Baju Merah akan mengadakan perhimpunan anti-Bersih di setiap “roadshow” Bersih 2.0.
Dalam sebuah perhimpunan anti-Bersih pada November lalu, Jamal ditumbuk di bahagian hidung ketika penyokong Baju Merah bergelut dengan polis.
Jamal yang pada mulanya mendakwa ditumbuk anggota polis, kemudiannya menuduh Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin bersama penyokong Bersih bertanggungjawab ke atas insiden hidungnya berdarah.
Selepas itu, Zuraida yang juga ketua Wanita PKR menyaman Jamal kerana mencemarkan reputasinya sebagai tokoh masyarakat selepas memfitnah dan menuduhnya menjadi dalang dalam kejadian hidungnya berdarah.