Khalid cabar anak Tajuddin ulang perkataan ‘kok’ di luar Parlimen

khalid-samad-Dr-FaizalSHAH ALAM: Anak ahli Parlimen Pasir Salak dicabar mengulangi kenyataan bapa mereka, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman terhadap Ahli Parlimen Teresa Kok – mengatakan Teresa satu-satunya wanita dengan “kok” – penyebab perkataan “sial” yang membawa kepada insiden kekasaran di Parlimen 24 November lalu.

Cabaran diajukan Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Abdul Samad ekoran rasa tidak puas hati Dr Faizal yang mendakwa kenyataan “sial” Khalid punca kepada insiden tersebut.

“Anak Tajuddin ada buat sidang media dan dalam sidang media itu dia kata saya yang mencetuskan insiden itu. Kalau dia rasa apa yang ayah dia cakap dalam Parlimen tidak salah, maka saya cabar dia, ulangi kata-kata ayah dia di luar Parlimen.

“Buat sidang media, keluarkan kata-kata yang sama. Jangan jadi pengecut, berlindung di sebalik imuniti Parlimen,” kata Khalid pada sidang media di pejabatnya hari ini.

Beliau menjawab rasa tidak puas hati Dr Faizal kerana polis tidak mengambil tindakan lanjut terhadap laporan yang dibuat penyokong Tajuddin terhadap Khalid.

Tajuddin menyebabkan kegemparan di Dewan Rakyat pada sidang November lalu kerana mengatakan “satu-satunya wanita dengan ‘kok’ adalah di Seputeh”, merujuk kepada Teresa, yang merupakan ahli Parlimen Seputeh.

Ia menyebabkan Khalid membalas Tajuddin, mengatakan timbalan menteri pertanian dan industri asas tani itu “sial”.

Perang mulut bertukar ganas selepas sekumpulan penyokong dan ahli keluarga Tajuddin tiba ke Parlimen pada 24 November untuk bersemuka dengan Khalid, tetapi bergelut dengan pihak keselamatan Parlimen.

“Ini sikap BN. Sikap dia menunjukkan generasi pemimpin Umno yang akan datang,” kata Khalid, dan menambah beliau akan sekali lagi mendesak Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia meminta peguam negara mengambil tindakan undang-undang yang lebih keras terhadap 8 individu yang didakwa di atas kejadian tersebut.

Lapan individu terbabit, termasuk Dr Faizal didakwa berkelakuan aib di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM100 jika sabit kesalahan. Mereka mengaku tidak bersalah.

“Bagi saya kalau Parlimen sendiri tidak mengambil tindakan ia akan memberi gambaran yang cukup buruk terhadap Pandikar,” katanya.

Penyokong Tajuddin desak polis buka balik kertas siasat terhadap Khalid

Takkanlah kami nak tumbuk Khalid Samad, kata anak Tajuddin