Kit Siang: Peranan baru Hishammuddin untuk kekalkan kuasa PM

limkitsiang-hishamudin2PETALING JAYA: Pelantikan Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai menteri tugas-tugas khas ialah langkah Datuk Seri Najib Razak mengukuhkan kuasanya, kata Lim Kit Siang.

Dengan menyifatkannya satu rampasan kuasa, penasihat DAP itu berkata, ia dilakukan semata-mata untuk melindungi perdana menteri.

“Tidak ada justifikasi pentadbiran atau menteri bagi pelantikan tambahan Hishammuddin sebagai menteri tugas-tugas khas di Jabatan Perdana Menteri sambil mengekalkan portfolio sebagai menteri pertahanan.

“Melainkan ia langkah politik dan ‘strategik’ untuk melindungi Najib daripada digulingkan sebagai perdana menteri ke-6 Malaysia – sama ada dari luar akibat kekalahan pada pilihan raya umum akan datang (PRU-14) atau digulingkan secara dalaman sebagai perdana menteri sebelum pilihan raya,” kata Lim dalam dalam satu kenyataan hari ini.

Veteran DAP itu berkata, hujahnya terletak kepada ketidak popularan Najib di kalangan pengundi Melayu yang semakin ketara.

“Akibatnya, akan ada pengukuhan pemikiran di dalam Umno yang satu penyelesaian ideal untuk memastikan Umno boleh kembali berkuasa pada pilihan raya umum akan datang ialah menukar pemimpin Umno yang mengetuai perubahan pada PRU14.

“Ini lebih boleh diterima orang Umno yang keras kepala daripada bekerjasama dengan PAS, yang memikirkan sebuah kerajaan pusat PAS-Umno, dengan Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai perdana menteri berdasarkan kerajaan PAS-Umno dengan 80 ahli Parlimen PAS, 40 ahli Parlimen Umno dan 45 ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak,” kata Lim yang mewajarkan rujukan rampasan kuasa itu.

Semalam, Najib mengumumkan pelantikan Hishammuddin yang menjadikannya menteri ke-10 di Jabatan Perdana Menteri, yang menurut Lim ialah rekod baru.

“Bagaimanapun, Hishammuddin amat berbeza daripada 9 menteri lain kerana beliau akan menjadi menteri paling berkuasa di Jabatan Perdana Menteri.

“Hishammuddin tidak akan menjadi seperti Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong, seorang menteri tanpa tanggungjawab atau kuasa, tetapi sebaliknya menjadi menteri paling berkuasa dalam Kabinet, timbalan perdana menteri de facto,” kata ketua Parlimen DAP itu.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu juga meramalkan portfolio baru Hishammuddin bertujuan memastikan beliau akan mengendalikan kempen Umno/Barisan Nasional untuk pilihan raya umum akan datang.

Dengan menyerang pelantikan secara mengejut sepupu Najib itu – ibu mereka ialah beradik – Lim berkata, langkah itu juga merupakan undi tidak percaya terhadap serangan propaganda dilancarkan pengarah komunikasi strategik BN, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan terhadap Pakatan Harapan.

“Media arus perdana dan media sosial yang dikuasai serta dimiliki Umno/BN menggunakan kempen memburukkan pemimpin Pakatan Harapan yang berkelas rendah dan tidak produktif.

“Sebagai contoh, memburukkan saya sebagai syaitan, raksasa, anti-Melayu, anti-Islam, komunis, tali barut PAP, dan ini menyaksikan BN kehilangan lebih banyak kredibiliti sehingga menyebabkan Najib terus tenggelam dalam populariti,” kata Lim.

Hishammuddin dilantik sebagai menteri dengan tugas-tugas khas