KPN: Mustahil kita tak beri kerjasama kes Jong Nam

khalid-abu-bakar_kim-jong-nam_60012PUTRAJAYA: Polis menafikan dakwaan kononnya mereka tidak memberi kerjasama kepada peguam 2 suspek wanita yang dirakam menyerang Kim Jong Nam di Lapangan Terbang Antarabangsa KL 2 (klia2) pada Februari lalu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata pihaknya akan bekerjasama jika permohonan mendapatkan maklumat siasatan pembunuhan itu dilakukan mengikut saluran yang betul.

“Kena tanya sama ada mereka buat permohonan secara rasmi atau tidak.

“Mustahil kita tak beri kerjasama kalau mereka mohon melalui saluran yang betul.

“Kita ingin ingatkan tak semua bahan bukti boleh diberi kepada peguam sebelum perbicaraan,” katanya selepas menghadiri satu Majlis Memorandum bersama Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Dorsertt Hotel hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas dakwaan Peguam Siti Aisyah dan Gooi Soon Seng di mana polis tidak memenuhi permintaan mereka mendapatkan rakaman CCTV dan kertas siasatan suspek warga Korea Utara.

Gooi hari ini melahirkan rasa tidak puas hati kerana sehingga kini pendakwa raya tidak membekalkan sebarang maklumat berkenaan siasatan pembunuhan itu.

“Kami tidak berpuas hati dengan siasatan kes ini, kami buat permohonan mendapatkan maklumat dari polis beberapa kali dan mahu berjumpa anak guam tetapi ditolak.

“Kami mohon CCTV termasuk CCTV awam,” katanya.

Khalid menasihati Gooi agar tidak membuat sebarang tuduhan yang akan mengganggu siasatan terhadap kes pembunuhan Jong Nam.

Beliau berkata polis bukan ahli politik dan hanya menjalankan tugas menyiasat kes itu.

“Kenapa dia tuduh polis begitu? Kita bukan ahli politik dan bukan bermain politik di sini, kita hanya menjalankan tugas,” katanya.

Khalid berkata buat masa ini, polis masih sedang menunggu 4 suspek warga Korea Utara yang masih berada di Pyongyang untuk dibawa ke Malaysia bagi membantu siasatan.

“Buat masa ini kita tiada apa-apa maklumat daripada pihak sana, kita tunggu mereka tangkap suspek tapi sudah tentu mereka tidak akan datang sini.

“Tapi kita ada cap jari yang akan kita beri kepada Interpool, ke mana saja mereka cuba ‘seberang’ kita akan ‘tangkap’,” katanya.

Kematian Jong Nam mencetuskan perbalahan diplomatik antara Malaysia dan Korea Utara apabila mereka enggan menyerahkan rakyatnya yang disyaki terbabit dalam pembunuhan itu.

Warga Vietnam, Doan Thi Huong, 28, dan warga Indonesia, Siti Aisyah, 25, hari ini tiba di mahkamah selepas lebih sebulan selepas dihadapkan di Mahkamah Majistret pada 1 Mac lalu atas tuduhan membunuh Jong Nam, abang sebapa diktator Korea Utara, Kim Jong Un.

Pada 16 Mac lalu, polis mendapat Notis Merah Interpol bagi penangkapan 4 warga Korea Utara berhubung pembunuhan itu.

Notis Merah Interpol merupakan instrumen paling hampir bagi waran penangkapan antarabangsa yang digunakan masa kini.
Semua suspek terbabit berada di klia2 semasa kejadian dan meninggalkan Malaysia pada hari yang sama.

Keempat-empat suspek itu ialah Rhi Ji-hyon, 33, Hong Song-hac, 34, O Jong-gil, 55, dan Ri Jae-nam, 57.