LHDN buru 30 firma termasuk GLC tak bayar cukai RM2.2 bilion

lhdn

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan audit dan siasatan cukai oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) ke atas 20 syarikat besar melibatkan kehilangan hasil RM1.4 bilion disebabkan pengelakan cukai dan penalti, dijangka dimuktamadkan bulan ini.

Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Sabin Samitah berkata, syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat senarai awam itu akan menerima notis cukai tertunggak yang perlu dibayar dalam tempoh setahun dari tarikh yang dikeluarkan.

“Jika mereka tidak bayar, kami akan membawa kes itu ke mahkamah dan (hanya selepas itu) kami boleh mendedahkan nama mereka,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran ‘Ops Gegar Bersepadu’ di sini, hari ini.

Beliau berkata, 20 syarikat terbabit, yang mengelak daripada membayar cukai sehingga 2 tahun, adalah antaranya daripada sektor telekomunikasi, perladangan, hartanah dan institusi kewangan.

LHDN ketika ini menjalankan pengauditan dan siasatan cukai ke atas 30 syarikat besar melibatkan kehilangan hasil keseluruhan kira-kira RM2.2 bilion disebabkan pengelakan cukai dan penalti.

Daripada jumlah syarikat itu, Sabin berkata, 10 syarikat telah menerima notis tunggakan cukai dan membayar RM800 juta keseluruhannya bagi pengelakan cukai dan penalti.