Mayat mangsa ke-7 banjir lumpur di Kinabatangan ditemui

Sahak-Rahmat-banjir-lumpurSANDAKAN: Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) semalam menemui mayat mangsa ke-7 kejadian banjir lumpur di ladang kelapa sawit Sen Fu, Tongod, di daerah Kinabatangan pada 1 April lepas.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Supt A Sahak Rahmat berkata, mayat budak lelaki dikenali sebagai Alan, 11, ditemui penduduk kampung di sungai Milian pada jam 2.30 petang.

Katanya, pasukan SAR terdiri daripada anggota polis, bomba dan Angkatan Pertahanan Malaysia pergi ke lokasi penemuan mangsa pada jam 6 petang dari jeti Kampung Pinangah.

Pasukan SAR sampai di lokasi mayat ditemui di Sungai Milian, kawasan Kampung Pingas pada jam 8.56 malam dan kembali ke jeti Pinangah pada jam 10.45 malam, katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, bapa mangsa mengecam mayat anaknya yang kemudian dihantar ke Hospital Duchess of Kent (HDOK) Sandakan untuk bedah siasat.

Penemuan mayat itu menjadikan jumlah 8 mangsa disahkan meninggal dunia, manakala seorang mangsa wanita, Asma, 37, masih hilang dan 2 lagi selamat.

Dalam kejadian itu, 11 sekeluarga dihanyutkan banjir lumpur selepas rumah kongsi didiami mereka roboh akibat tanah runtuh di kawasan itu.

Salah seorang mangsa yang terselamat, Zaleha Mandaya, 40, meninggal dunia ketika dirawat di HDOK Sandakan pada Ahad lepas akibat jangkitan kuman.

Rumah hanyut, operasi mencari 7 mangsa diteruskan