Penasihat agama PM beri amaran bahaya ‘liberalisme’

liberalismeKUALA LUMPUR: Penasihat agama kepada perdana menteri hari ini menyifatkan liberalisme sebagai ancaman kepada agama Islam di samping fahaman radikal.

Tan Sri Dr Abdullah Mohd Zin berkata fahaman itu perlu dibendung bagi mempromosikan wasatiyyah, atau kesederhanaan, supaya umat Islam memilih “jalan tengah” dalam mengamalkan agama.

Abdullah berkata golongan liberal adalah mereka yang menafsirkan Al-Quran mengikut pemikiran sendiri dan mempertikaikan prinsip syariah.

“Mereka biasa membawa perbezaan pendapat yang walaupun pada dasarnya nampak menarik, tetapi membelakangkan Islam,” katanya pada program Syarahan Perdana Wasatiyyah 2017 dianjurkan Institut Wasatiyyah Malaysia (IWM), Jabatan Perdana Menteri.

Syarahan bertajuk “Ancaman Liberalisme, Radikalisme dan Terrorisme dalam dunia Islam: Pendekatan Wasatiyyah Sebagai Penyelesaian” disampaikan Setiausaha Agung Liga Isam Dunia, Sheikh Mohamad Abdul Karim Al-Issa.

Mengenai radikal Islam pula, Abdullah berkata mereka menafsirkan “jihad” secara radikal dan mudah mengkafirkan umat Islam yang berbeza pendapat.

Katanya, Malaysia mampu melawan liberalisme, radikalisme dan keganasan melalui konsep wasatiyyah.

“Wasatiyyah” menjadi jenama utama pentadbiran Najib, yang turut menubuhkan Gerakan Kesederhanaan Global (GMM) bagi mempromosikan konsep itu.

Dalam jawapan Parlimen pada 27 Mac lalu, Najib berkata konsep tersebut diterapkan dalam sukatan pelajaran di sekolah dan universiti bagi meningkatkan kefahaman rakyat terhadap konsep itu.