Polis masih mencari Peter Chong di Thailand

khalid-peter-chong-thailand

PUTRAJAYA: Polis masih berusaha mencari aktivis sosial Peter Chong yang dikesan berada di Thailand, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Beliau berkata, buat masa ini polis belum menerima apa-apa perkembangan mengenai Peter daripada pihak berkuasa Thailand.

“Tiada apa-apa respon, dia (Peter) belum menghubungi anaknya padahal anaknya risau.

“Saya rasa dia patut hubungi anaknya, tidak patut dia ke sana begitu saja tanpa beritahu sesiapa,” katanya kepada pemberita di Hotel Dorsett di sini hari ini.

Semalam, Khalid berkata Peter dikesan menuju ke Thailand minggu lalu, berdasarkan kepada rakaman gambar aktivis tersebut menaiki bas melalui sempadan Bukit Kayu Hitam, Kedah pada 6.30 pagi 7 April lalu.

Anaknya, Darryl membuat laporan polis mengenai kehilangan bapanya 8 April lalu selepas usaha menghubunginya gagal.

Kes Peter kemudiannya diklasifikasikan sebagai laporan orang hilang.

Peter adalah bekas ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan pembantu Ahli Parlimen Subang R Sivarasa. Kali terakhir dilihat 5 April lalu ketika meninggalkan rumahnya di Persiaran Raja Chulan, Kuala Lumpur.

Pada 31 Mac lalu, Peter menerusi kiriman Facebook mendakwa didekati individu tidak dikenali yang mengingatkannya supaya “berhati-hati”, ketika negara dikejutkan dengan kes kehilangan Pastor Raymond Koh, Pastor Joshua Hilmy dan isteri, Ruth, dan aktivis Perlis Hope, Amri Che Mat.

Raymond dan badan bukan kerajaannya, Harapan Komuniti, pernah didakwa memurtadkan orang Islam, susulan serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ke atas majlis makan malam kesyukuran pada 2011.

Rakaman CCTV menunjukkan penculikan lelaki 62 tahun itu dilakukan secara teratur membabitkan lebih 10 orang menaiki 3 SUV hitam. Beliau dilaporkan hilang 13 Februari lalu.

Hilmy pula pernah menganut agama Islam dan dilaporkan hilang 30 November tahun lepas.

Amri pula didakwa pengikut syiah dan cuba menyebarkan mazhab itu kepada orang lain. Bagaimanapun, isterinya, Norhayati Ariffin menafikan dakwaan itu. Beliau dilaporkan hilang 24 November tahun lepas.

Keempat terbabit hilang tanpa dikesan. Pihak berkuasa masih tiada petunjuk di mana mereka atau siapa yang menculik mereka.