Rafizi riuh sampai tak tahu dosa pahala, kata Nik Abduh

Nik-Abduh-rafizi

KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda PAS Pusat Nik Abduh Nik Abdul Aziz mengecam Rafizi Ramli hari ini kerana membuat tuduhan tidak berasas dan membesarkan-besarkan perkara kecil.

Kenyataan itu dipercayai merujuk akuan bersumpah naib presiden PKR itu hari ini, yang mendakwa bekas timbalan presiden PAS Nasharudin Mat Isa menerima dana berkait 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Suka sangat menyelongkar sampai jadi hobi. Tahi ayam pun ‘digempaknya’ jadi tahi tuan ayam,” katanya di Facebook hari ini.

“Betullah kata presiden PAS (Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa (Ahli Parlimen) Pandan ini tidak tahu dosa dan pahala.”

Sebaik sidang Dewan Rakyat ditangguhkan dengan penuh kekecohan selepas pembentangan usul pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 6 April lalu, Rafizi membuat dakwaan ada “individu rapat” dengan pimpinan PAS menerima dana 1MDB.

Abdul Hadi kemudian menafikan dakwaan Rafizi dan menyifatkannya “jahil dosa pahala” dan perlu bertaubat.

Rafizi dalam akuan bersumpah hari ini mendakwa Nasharudin menerima wang yang didakwa daripada anak syarikat 1MDB.

Rafizi mendakwa dana tersebut pada awalnya disalurkan ke akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, dan kemudian, sejumlah wang disalurkan kepada Nasharudin.

Menurut Rafizi, maklumat ini diberitahu kepadanya pada 28 Januari tahun ini, oleh seorang bekas pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang pernah mengetuai siasatan ke atas 1MDB dan dakwaan pembabitan Najib dalam skandal itu.

Menurut Rafizi, perkara sama diketahui Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Khairuddin Aman Razali.

Nik Abduh berkata PAS juga menerima “banyak maklumat” tetapi tidak akan membuat tuduhan melulu tanpa bukti kukuh.

“Mereka berusaha mempraktiskan akhlak mulia, sesuatu yang belum masak buktinya, maka diam adalah senjata disarung dan biarkan ia terlihat.

“Nasihat saya (kepada Rafizi), pandu cermat jiwa selamat. Tekan minyak, tekan juga brek,” katanya.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/highlight/2017/04/13/rafizi-bekas-timbalan-presiden-pas-nasharuddin-terima-wang-1mdb/