Rasuah: Pegawai kanan beras Kelantan direman 6 hari

sprm_men_600

KOTA BHARU: Seorang pegawai kanan Bahagian Kawal Selia Padi dan Beras Negeri Kelantan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan kes meminta dan menerima suapan sebanyak RM3,500.

Pengarah SPRM Kelantan, Datuk Moh Shamsuddin Yusof berkata, pegawai kanan berusia 56 tahun itu ditahan pada jam 3.30 petang semalam di sebuah restoran di sini.

Beliau berkata, pegawai kanan itu ditahan reman 6 hari mulai hari ini untuk siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

“Turut ditahan adalah 3 pegawai penguat kuasa bahagian itu yang berusia dalam lingkungan 30-an bagi membantu siasatan kes sama.

“Bagaimanapun, mereka dibebaskan petang tadi selepas diambil keterangan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Keempat-empat suspek itu ditahan SPRM kerana disyaki meminta dan menerima rasuah sebanyak RM3,500 daripada seorang pengadu sebagai dorongan untuk mengeluarkan pas memindah beras dari Kelantan ke Perak selain wang “salam perkenalan”.