Sarawak kena tegas dengan Petronas, kata PKR

See-Chee-How-petronasKUCHING: PKR menyeru Ketua Menteri Sarawak Datuk Abang Johari Openg lebih tegas dengan syarikat minyak negara Petronas dalam rundingan hasil minyak dan gas di pesisir negeri itu.

Naib Pengerusi PKR Sarawak See Chee How, dipetik Borneo Post, turut menggesa kerajaan negeri menimbangkan untuk melabur dan mengambil alih pemilikan pembangunan sumber petroleum di sempadan wilayah Sarawak.

See, yang juga Adun Batu Lintang, mendakwa Petronas terus mengabaikan hak Sarawak terhadap sumber di wilayah mereka.

“Saya serius akan mengemukakan usul persendirian mengenai perkara ini di DUN Sarawak yang dijadualkan pada 11 hingga 22 Mei ini dan berharap mendapat sokongan rakan Adun lain untuk mengambil langkah penting memenuhi aspirasi Tan Sri Adenan Satem dan semua rakyat Sarawak supaya kuasa berdaulat dan autonomi Sarawak dihormati kerajaan persekutuan.

“Adenan sebagai ketua menteri dulu berjuang keras untuk autonomi lebih besar dan mengembalikan hak Sarawak, termasuk lebihan rizab minyak dan gas di wilayahnya.”

See merujuk laporan Reuters semalam yang Petronas merancang menjual pegangannya dalam projek gas huluan SK316 di perairan Sarawak.

Petronas akan menjual kira-kira AS$1 bilion pegangan dalam projek gas SK316 kepada pembida berpotensi, termasuk pengeluar Royal Dutch Shell, ExxonMobil Corp, Thailand’s PTT Exploration dan syarikat Jepun.

See berkata sama ada ia menjual sebahagian pegangannya atau sedang mencari rakan kongsi dalam pembangunan bidang minyak dan gas di pantai atau di luar pesisir Sarawak, hak dan kepentingan Sarawak tidak boleh diabaikan.

“Petronas harus berunding dengan pentadbir negeri dan Sarawak perlu diberi pilihan untuk mengambil alih semua atau sebahagian daripada kepentingan yang Petronas bercadang menjualnya,” katanya kepada Borneo Post.

“Prospek pelaburan dan mengambil pemilikan kepentingan dalam SK316 mesti selaras dengan perjanjian 7 perkara yang dicapai antara kerajaan negeri dengan Petronas, di mana Petronas akan membantu memudahkan penyertaan langsung Sarawak dalam Kontrak Perkongsian Pengeluaran dan mendapat manfaat daripadanya.”

See berkata kerajaan perlu berhati-hati dan tegas memastikan pentadbiran negeri tidak dipintas lagi selepas keputusan yang menjejaskan Sarawak dan sumbernya dibuat.