SPRM sahkan Adam Rosly ditahan, mohon reman esok

adam-rosly

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan menahan Ketua Pemuda PKR Ampang Datuk Adam Rosly selama semalam, berhubung kes dakwaan kekayaan yang dimilikinya.

Mengesahkan penahanan itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki berkata, Adam disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Amla).

“Beliau ditahan pada pukul 2.30 tengah hari tadi di ibu pejabat SPRM Putrajaya.

“Penahanan adalah atas kuasa pihak menyiasat. Dalam kes ini kami merasakan ada keperluan untuk menahan beliau bagi membantu siasatan, selepas mendapat keterangan lain sebelum ini,” katanya ketika dihubungi FMT.

Adam hadir ke ibu pejabat SPRM hari ini bagi memberi keterangan berhubung kes itu, selepas memberikan keterangan kali pertama 10 Februari lalu.

Azam berkata SPRM akan membuat permohonan reman terhadap Adam esok.

“Kami tidak menolak kemungkinan (Adam) direman esok. InsyaAllah permohonan reman akan dibuat.

“Apabila ditahan, beliau kini dianggap sebagai suspek bagi kes ini,” katanya.

Kekayaan Adam, yang pernah menjadi pegawai khas kepada Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin, mula menjadi perhatian selepas didedahkan Datuk Seri Jamal Md Yunos, yang mendakwa beliau memiliki banglo dan pelbagai kereta mewah walaupun baru sepenggal memegang jawatan dalam PKR.

Ketua Umno Bahagian Ampang Datuk Ismail Kijo 15 November tahun lepas membuat laporan SPRM menggesa siasatan dilakukan terhadap kekayaan yang dimiliknya pada usia muda.

Adam menafikan sebarang salah laku dengan berkata beliau memiliki perniagaan sendiri, namun tidak mendedahkan dengan lebih lanjut atas sebab keselamatan.