TMJ: FAM bakal rugi RM34 juta jika kalah kes mahkamah

tmj-fam

KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mungkin terpaksa menanggung kerugian RM34 juta berikutan 2 kes melibatkan MP & Silva dan satu lagi syarikat yang ditandatangani untuk skuad pembangunan Harimau Muda ke Slovakia.

Presiden FAM Tunku Ismail Sultan Ibrahim bertitah ekoran 2 kes mahkamah itu, berkemungkinan tiada lagi peruntukan untuk skuad kebangsaan dan pasukan yang bertanding dalam Liga Malaysia.

Dalam catatan terkini di laman Facebook Football Association of Malaysia (Official) hari ini, Tunku Ismail menyelar barisan exco sebelum ini kerana menandatangani perjanjian yang tidak memihak kepada kepentingan FAM.

“Saya amat kecewa dengan barisan exco sebelum ini yang tidak bertanggungjawab dalam FAM. Pada masa ini, FAM berdepan 2 kes iaitu dengan MP & Silva, di mana sekiranya kita kalah FAM terpaksa membayar RM25 juta, termasuk tambahan RM9 juta lagi jika kalah dengan syarikat yang kita tandatangani untuk skuad pembangunan Harimau Muda ke Slovakia.

“Bagaimana FAM boleh tandatangani perjanjian yang lebih memihak kepada pihak lain? Sepatutnya keutamaan, kelebihan dan ‘financial securities’ (jaminan kewangan) adalah untuk FAM tetapi sekarang ini apa yang berlaku adalah perjanjian yang lemah yang telah ditandatangani meletakkan badan induk ini dalam keadaan yang susah.

“Buat masa ini nampaknya walaupun FAM akan terima kemasukan duit, tetapi tetap duit tersebut akan keluar semula jika kalah dengan kes-kes berkenaan,” katanya.

Tunku Ismail berhubung dengan rakan dari Singapura dan menggunakan kenalan dalam kerajaan Johor untuk bertemu pemilik atau orang atasan MP & Silva bagi menyelesaikan kemelut di luar mahkamah.

“Jika FAM tiada duit, tiadalah peruntukan untuk pasukan-pasukan yang bertanding di dalam Liga Malaysia dan juga skuad kebangsaan. Oleh sebab itu, saya katakan perkara ini adalah sangat serius,” titah baginda.

MP & Silva, yang berpejabat di London dan Singapura, menguruskan hak penyiaran antarabangsa dan ditugaskan untuk membantu FAM mendapatkan pelaburan daripada penaja berpotensi bagi Liga Malaysia.

Berdasarkan jaminan pendapatan yang bakal diberikan kepada FAM oleh MP & Silva bagi tempoh 2016-2021 ialah RM420 juta (RM70 juta setahun), 2022-2024 RM255 juta (RM85 juta setahun), 2025-2027 RM276 juta (RM92 juta setahun) dan 2028-2021 RM309 juta (RM103 juta setahun).

Melalui perjanjian ini, FAM bakal menerima 40% daripada RM70 juta setahun untuk tempoh 6 tahun pertama dengan 30% akan diagihkan kepada pasukan Liga Malaysia.

Selebihnya akan digunakan untuk mengendali Liga Malaysia, pengadilan serta pembangunan bakat muda.