Buku dibeli Siti Aishah tiada lagi di Masjid India

siti-aishah-1KUALA LUMPUR: Jalan Masjid India disebut dalam perbicaraan mahkamah melibatkan seorang wanita yang dituduh ada kaitan dengan keganasan baru-baru ini.

Isnin lalu, Siti Noor Aishah Atam dalam keterangannya di mahkamah mengaku membeli 12 buku yang didakwa mempromosi fahaman militan seperti IS dan Al Qaeda, dari sebuah kedai buku di Jalan Masjid India.

Beliau menamakan pengusaha buku, Fajar Ilmu Baru Enterprise, sebagai pengimport dan pembekal sebahagian buku yang dimilikinya.

Di kalangan peminat buku bertema agama, nama itu bukanlah asing kerana ia menjadi salah satu destinasi buku agama yang sukar diperolehi di kedai buku biasa, mahupun rangkaian kedai buku ternama.

Tinjauan FMT baru-baru ini mendapati judul yang dijual di sana, serta beberapa lagi kedai buku sekitar Masjid India, melangkaui topik arus perdana, sama ada perdebatan mengenai Syiah atau gerakan Sufi, pro dan kontra.

Siti Aishah dituduh memiliki beberapa buku Bahasa Melayu termasuk yang dikarang pemimpin militan, antaranya “Visi Politik Gerakan Jihad”, “Generasi Kedua Al-Qaedah: Apa Dan Siapa Zarqawi Apa Rencana Mereka Ke Depan”, “Dari Usama Kepada Para Aktivis”, “Dari Rahim Ikhwanul Muslimin Ke Pangkuan al-Qaeda” dan “Ketika Maslahat Dipertuhankan dan Menjadi Taghut Model Baru”.

Kerana memiliki buku itu, Siti Aishah pertama kali ditahan pada Mac 2016, di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012, atau Sosma.

Pada April 2016, dia didakwa di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur dan tidak mengaku bersalah memiliki buku-buku berkenaan.

Siti Aishah mendakwa simpanan bukunya untuk membantu kajiannya dalam bidang Ijazah Sarjana Akidah dan Pemikiran Islam di Universiti Malaya (UM) pada 2012 hingga 2013.

Kini, buku yang dibeli Siti Aishah tidak lagi dijual, dan carian di laman web Fajar Ilmu Baru juga menunjukkan ia tiada lagi dalam senarai.

“Itu buku lama dan sudah tiada. Kebanyakannya dijual ketika (bekas pemimpin Al-Qaeda) Osama bin Laden menjadi perhatian dunia,” kata seorang pekerja yang enggan dinamakan.

Pengurus Fajar Ilmu Baru enggan diwawancara FMT berhubung isu ini.

Pengurus sebuah lagi kedai buku agama di kawasan pusat bandar raya ini mengakui pernah menjual buku berkaitan Osama beberapa tahun lalu.

“Tetapi ketika itu kurang laku, jadi kami sudah lelong,” kata Gusmen Nurmawan, pengurus Pustaka Rezeki Harapan.

“Dulu kebiasaannya untuk tajuk-tajuk baru, pihak Kementerian Dalam Negeri akan ambil untuk menilainya. Apabila lulus, baru kami letak di rak. Jika tidak, kami pulangkan kepada pengedar di Indonesia,” katanya.

Kini, kata Gusmen, pihaknya hanya memesan buku yang sudah lulus penilaian kerana ia lebih mudah dan menjimatkan kos dan tenaga.

Buku agama popular

Antara buku yang sering dicari peminat buku adalah dalam bidang fekah, tasawwuf dan tauhid.

“Buku fekah biasanya daripada penulis Indonesia dan Singapura, antaranya (sarjana Singapura) Osman Jantan, manakala buku tasawwuf pula Ihya Ulumuddin oleh Imam Ghazali dan Syeikh Siti Jenar,” kata Gusmen kepada FMT.

Tambahnya, buku politik Islam juga ada permintaan.

“Buku Ikhwanul Muslimin dan Hassan Al-Banna masih ada, tetapi tidak banyak. Biasanya dicari pelajar yang menyertai tarbiah,” katanya.

Buku agama yang menjadi pilihan pelanggan di kedai buku ternama lebih bersifat motivasi, membincangkan asas agama serta yang menyentuh soal dunia Islam.

Menurut laman web kedai buku MPH, antara tajuk yang termasuk dalam senarai “bestseller” adalah “Allah Dekat Tiada Gawat” (Pahrol Mohamad Juoi) dan “A World Without Islam” oleh bekas pegawai CIA, Graham E. Fueller.

Kedai Buku Popular pula menyenaraikan “Kisah-Kisah Para Nabi & Rasul” (Abdullah Ahmad Mubarak) dan “Ajari Aku Tentang Syurga” (Khairul Ghazali) sebagai antara buku yang laris.

Sementara kedai buku Kinokuniya di KLCC pula mempunyai pilihan yang banyak untuk kategori buku dengan tema Islam dalam berbahasa Inggeris.

Gusmen berkata kedai buku di Masjid India menjual tajuk serius dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Indonesia, yang tidak terdapat di kedai buku lain.

“Di kedai lain, buku berkenaan tasawwuf dan mazhab lain lebih banyak dalam bahasa Inggeris,” katanya.

Siapa dan apa di sebalik buku milik Siti Aishah?

Siti Aishah beli buku ‘militan’ di Masjid India