China seru ketegangan Korea Utara dihentikan sebelum terlajak

china-northkoreaBEIJING/PYONGYANG: China hari ini menyeru ketegangan di Korea Utara dihentikan sebelum terlajak, ketika kumpulan kapal perang Amerika Syarikat berlayar menuju rantau itu di sebalik kebimbangan Korea Utara akan menjalankan ujian senjata nuklear ke-6.

Kebimbangan terus meruncing sejak tentera laut AS melancarkan 59 peluru berpandu Tomahawk terhadap landasan udara Syria minggu lepas sebagai jawapan ke satu serangan gas, menimbulkan persoalan apa rancangan Presiden AS Donald Trump untuk Korea Utara, yang melanggar sekatan PBB dengan menjalankan ujian peluru berpandu dan nuklear.

AS memberi amaran dasar “kesabaran strategik” sudah berakhir. Naib Presiden AS Mike Pence terbang ke Korea Selatan pada Ahad untuk lawatan 10 hari ke Asia.

China, satu-satunya jiran dan sekutu utama Korea Utara dan yang membantah program senjata negara itu, menyeru perbincangan pelucutuan nuklear di semenanjung korea diadakan.

“Kami menyeru semua pihak supaya mengawal diri dari memprovokasi dan mengancam satu sama lain, dalam bentuk ucapan mahupun tindakan, dan tidak membenarkan keadaan terlajak dan tidak terkawal,” kata Menteri Luar Negeri China Wang Yi kepada pemberita di Beijing.

Sekutu AS, Korea Selatan, memberi amaran terhadap sebarang “provokasi” Korea Utara.

“Jika Korea Utara melakukan provokasi strategik seperti ujian nuklear atau melancarkan peluru berpandu balistik antara benua, akan ada langkah punitif yang keras diambil dan sukar untuk dihadapi rejim Korea Utara,” kata kementerian luar negeri Korea Selatan dalam kenyataan.

Korea Utara mengecam AS kerana mengerahkan “aset nuklear strategik” ke rantau itu ketika kumpulan kapal perang diketuai kapal nuklear USS Carl Vinson semakin mendekatinya.

“Ia mewujudkan keadaan merbahaya yang boleh menyebabkan perang thermo-nuklear tercetus bila-bila masa sahaja,” kata agensi berita Korea Utara, KCNA hari ini, memetik kenyataan Institut Pelucutan Senjata dan Keamanan di kementerian luar negeri Korea Utara hari ini.

Korea Utara, secara teknikal masih berperang dengan Korea Selatan selepas konflik 1950-53 diakhiri dengan gencatan senjata, bukannya perjanjian, selalu menjalankan ujian nuklear dan peluru berpandu bersempena acara politik besar-besaran dan kerap mengancam AS, Korea Selatan dan Jepun.

Korea Utara dijangka meraikan “Hari Matahari” pada Sabtu, iaitu ulangtahun kelahiran pengasas mereka Kim Il Sung yang ke-105.