DAP kritik penalti 100% terhadap pengelak cukai

Chong-Chieng-Jen-cukaiKUCHING: DAP mengkritik undang-undang baharu yang akan mendenda pengelak cukai sebanyak 100% dengan berkata denda itu terlalu berat terutama ia memberi skop yang luas terhadap pengelak cukai.

“Pengelak cukai adalah istilah yang sangat longgar. Seseorang boleh melaporkan cukai, tetapi mungkin tersalah lapor. Tetapi ia masih dikelaskan sebagai mengelak cukai,” kata pemimpin DAP Sarawak Chong Chieng Jen kepada pemberita hari ini.

“Mendenda mereka 100% terlalu menindas.”

Bermula 1 Januari tahun depan, individu dan syarikat yang gagal membayar cukai atau mengemukakan laporan cukai tidak tepat akan dikenakan penalti 100% berbanding dengan penalti semasa 45%.

Rabu lalu, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Datuk Sabin Samitah berkata peningkatan penalti itu bagi memastikan syarikat dan pembayar cukai individu membayar cukai mereka.

“Kenaikan penalti tidak akan melibatkan apa-apa pindaan kepada undang-undang kerana ia sudah ditetapkan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967,” kata Sabin.

Beliau berkata di bawah akta itu, penalti boleh dinaikkan sehingga 300%.

“Kami bukannya membenarkan orang mengelak membayar cukai tetapi saya fikir dalam banyak kes, kadang-kadang pembayar cukai melakukan kesilapan. Mengikut undang-undang cukai semasa, terdapat ribuan peruntukan dan peraturan dan ribuan tafsiran,” kata Chong.

“Jadi mendenda mereka dengan jumlah sebegitu banyak tidak masuk akal. Ia hanya menunjukkan perbendaharaan makin susut, dan Barisan Nasional tidak ada awang untuk membayar hutang mereka, terutamanya hutang 1MDB.

“Sebab itu kerajaan mengambil tindakan keras. Mereka mengambil tindakan berat yang tidak perlu dan tidak munasabah ke atas pembayar cukai, menggunakan undang-undang punitif yang memerlukan kelulusan LHDN.

“Ia adalah satu skim pencukaian kerajaan BN yang tidak munasabah dan menindas, dan satu-satunya cara menentangnya adalah menukar kerajaan pada pilihan raya akan datang,” katanya.