Gadis Melayu terlanjur jadi mangsa pemimpin hipokrit, kata Zaid

Zaid-Ibrahim_mengandung_600

PETALING JAYA: Kehidupan gadis Melayu yang mempunyai anak luar nikah musnah akibat kegagalan pemimpin hipokrit mencari penyelesaian yang berkesan kepada masalah ini, kata bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Datuk Zaid Ibrahim berkata demikian selepas menyaksikan beberapa kes gadis Melayu didakwa atas kesalahan membunuh bayi sendiri.

Beliau berkata begitu banyak laporan gadis Melayu membunuh bayi atau menggugurkan kandungan kerana pendakwah, pendidik dan pemimpin politik menentang pendidikan seks kerana dianggap ‘taboo’.

“Sebab itulah masalah sosial ini amat tinggi dalam kalangan orang Melayu.

“Pemimpin Melayu tidak mahu bercakap secara terbuka tentang seks, seks selamat, penggunaan alat pencegahan kehamilan dan realiti masyarakat moden di mana orang mengadakan hubungan seks sebelum berkahwin.

“Sebab itulah gadis Melayu membunuh bayi mereka tetapi gadis bangsa lain tidak,” kata Zaid dalam blognya hari ini.

Menurut Zaid, cara pemimpin hipokrit menangani masalah ini menyebabkan orang Melayu malu mengakui dosa mereka dan enggan memalukan keluarga.

“Kerajaan mengenakan dakwaan terhadap ibu muda yang terlanjur atas dakwaan membunuh, perkara ini bukan saja memusnahkan kehidupan gadis itu, malah bayi dan keluarga mereka.

Beliau berkata pemimpin Melayu tidak peduli masalah itu, mereka hanya pandai bercakap mengenai dosa dan hukuman tanpa mencadangkan apa-apa praktikal untuk mengelakkan tragedi ini.

“Ada ‘orang warak’ cuba menangani ini dengan hukuman berat terutama di bawah Akta 355, selain mewujudkan peraturan seperti lorong berasingan di pasar raya, mengharamkan konsert dan panggung wayang.

“Malah ada yang menyalahkan gejala sosial dunia kepada konsert Beyonce dan Lady Gaga.”

Zaid berkata sudah tiba masanya orang Melayu memilih pemimpin yang boleh menyelesaikan masalah dunia.

“Kita kena ajar mereka bagaimana hubungan seks selamat dan mereka perlu mendapatkan pengetahuan seks secukupnya di sekolah supaya mereka boleh membuat keputusan apabila tiba masanya nanti.”

Tetapi orang Melayu, katanya, terpesona dengan pemimpin yang bercakap mengenai dosa dan hukuman khalwat, zina dan seks sebelum kahwin.

Namun hakikatnya, hubungan haram akan terus berlaku dalam masyarakat.

“Pemimpin yang mendapat perhatian orang Melayu sekarang ini tidak relevan kepada masalah mereka. Pemimpin itu juga tidak relevan kepada masalah negara.

“Ramai pemimpin hipokrit. Mereka sebenarnya tidak peduli nasib bangsa Melayu dalam kehidupan dunia ataupun akhirat. Mereka hanya mengambil berat diri mereka saja,” kata Zaid.