Ideas setuju cadangan Dr M swastakan agensi kerajaan

azrul-Azih-MudaPETALING JAYA: Sebuah badan pemikir setuju dengan cadangan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menswastakan agensi kerajaan untuk mengurangkan peningkatan jumlah kakitangan dalam perkhidmatan awam Malaysia.

Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) mengulas kenyataan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mengenai kesan buruk jika kerajaan menerima cadangan Dr Mahathir untuk menswastakan agensi kerajaan.

Presiden Cuepacs Datuk Azih Muda berkata penswastaan akan menyebabkan ramai orang hilang pekerjaan.

“Kita bersyukur kerana tidak lagi di bawah pentadbiran Mahathir, jika tidak perkhidmatan awam kucar-kacir sekarang,” Azih memberitahu FMT.

Namun Pengurus Hubungan Luar Ideas Azrul Khalib berkata hujah yang digunakan terhadap penswastaan itu kerap digunakan dan tidak realistik.

“Perkhidmatan awam bukan ‘pekerjaan diprogramkan’ untuk menangani pengangguran di Malaysia.

“Ia bertujuan memberi perkhidmatan kepada rakyat menggunakan wang pembayar cukai dan hasil kerajaan dengan bijak.”

Azrul berkata, keutamaan adalah bagaimana menggunakan dana awam secara optimum untuk memberikan hasil sebaik mungkin kepada rakyat.

Beliau berkata penswastaan perkhidmatan awam akan memberikan gaji lebih baik kepada individu berkelayakan untuk diambil bekerja, penyelarasan tugas dan menggalas tanggungjawab.

“Mengurangkan saiz perkhidmatan melalui penswastaan akan mewujudkan peningkatan kecekapan, keberkesanan yang besar dalam dasar dan penyampaian perkhidmatan, manfaat kreativiti dan inovasi dan penggunaan IT yang lebih baik.

“Baru-baru ini, Dr Mahathir berkata penswastaan agensi kerajaan bermakna kerajaan tidak perlu menghabiskan kos terhadap gaji.”

Pada 1980-an, kerajaan melakukan penswastaan menyebabkan Lembaga Letrik Negara menjadi Tenaga Nasional manakala Jabatan Telekom menjadi Telekom Malaysia (TM).

Pada Februari lalu, laporan menunjukkan perkhidmatan awam di Malaysia adalah terbesar di dunia dengan nisbah seorang penjawat awam bersamaan 19.37 penduduk.

Menteri Kewangan Ke-2, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dipetik sebagai berkata perkhidmatan awam mengembang sebanyak 1.6 juta menyebabkan perbelanjaan tahunan kerajaan meningkat secara drastik.

Bagaimanapun, beliau berkata Putrajaya tidak mengambil apa-apa tindakan untuk mengurangkan jumlah kakitangan awam.