Kapal pengangkut tentera AS tiba di Kuching

USNS-Fall-River-sarawak1KUCHING: Kapal pengangkut ekspedisi tentera laut Amerika Syarikat USNS Fall River tiba di Pelabuhan Pending, di sini pada kira-kira pukul 9.00 pagi untuk Eksesais Pacific Partnership 2017 (PP17).

Ketibaan kapal yang membawa bersama 100 anggota marin dan tentera laut Amerika Syarikat bersama 30 kru awam itu disambut Ketua Staf Divisyen Pertama Infantri Malaysia, Kolonel Isa Daud.

Jurucakap Markas Pemerintahan Timur dalam satu kenyataan petang ini berkata kapal itu akan berlabuh sehingga tamat eksesais di sini pada 22 April ini sebelum bertolak ke pelabuhan Kuantan.

Antara yang turut serta dalam pelayaran tersebut adalah 20 pegawai dan anggota tentera Malaysia, anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), Angkatan Pertahanan Awam dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

Pada perasmian PP17 di Pelabuhan Klang 10 April lalu, Panglima Angkatan Bersama Malaysia Lt Jen Datuk Fadhil Mokhtar berkata skop luas latihan akan memberi manfaat secara berterusan kepada sektor tentera Malaysia, masyarakat setempat dan mengeratkan hubungan antara negara.

Menurutnya PP17 yang akan berlangsung kira-kira 15 hari meliputi latihan di Kuching, Sarawak dan Kuantan, Pahang; memberi fokus kepada latihan bencana alam khususnya berkaitan dengan Bantuan Bencana Kemanusiaan (HADR).

Eksesais ini merupakan acara kerjasama tentera pelbagai hala antara Malaysia, Amerika Syarikat, Australia, Korea Selatan dan Jepun untuk meningkatkan persefahaman bersama antara negara dan bertukar pengalaman dalam bentuk latihan.