Kastam Terengganu rampas 3 juta batang rokok seludup

Rokok-CigaretteKUALA TERENGGANU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Terengganu merampas kira-kira 3 juta batang rokok seludup bernilai RM2.067 juta termasuk cukai dalam 2 serbuan berasingan di Kuala Nerus dan Marang, semalam.

Pengarah JKDM Terengganu Aidid Tajuddin berkata dalam serbuan pertama jam 1.00 pagi, sepasukan pegawai JKDM menahan sebuah van jenis Toyota Hiace di Jalan Kelantan, Kampung Sungai Ikan, Kuala Nerus.

“Hasil pemeriksaan terhadap kenderaan itu, JKDM berjaya menemukan 660,000 batang rokok putih jenama John White dan John F1 membabitkan nilai RM454,740 termasuk cukai.

“Turut ditahan seorang lelaki berusia 53 tahun yang memandu van terbabit sebelum direman selama 14 hari selepas dia gagal membuktikan rokok terbabit diimport secara sah,” katanya dalam satu sidang media di sini hari ini.

Dalam rampasan ke-2 pula pihaknya menerima maklumat sebuah lori 3 tan dipercayai membawa barangan tidak sah melalui jalan di sekitar daerah Marang.

Sejurus tiba di Kampung Mercang, Marang jam 3.00 petang semalam pihaknya mengesan sebuah lori terbabas di tepi jalan dan hasil pemeriksaan menemukan 2.34 juta batang rokok seludup jenama U2 membabitkan nilai kira-kira RM1.7 juta termasuk cukai.

“Berdasarkan maklumat, pemandu lori terbabit melarikan diri selepas terbabas manakala kelindan dihantar ke hospital akibat kecederaan parah.

“Kita sedang mengesan dan menjejaki identiti pemandu dan lori yang ditinggalkan itu,” katanya.

Aidid berkata rampasan ini adalah yang terbesar dilakukan pihaknya tahun ini membabitkan 15,000 karton rokok.

Beliau berkata hasil siasatan awal juga mendapati sindiket itu akan menggunakan nombor pendaftaran palsu dan melakukan pergerakan pada waktu malam dengan menggunakan laluan pantai ataupun Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT 2) diiringi beberapa buah kenderaan lain.

Menurutnya sindiket penyeludupan rokok ini menjadikan Terengganu sebagai laluan utama bagi memasarkan barangan larangan itu.

Justeru, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan ini diminta membuat laporan kepada Bahagian Penguatkuasaan Terengganu menerusi talian 09-6225674 atau talian bebas tol 1-300-888-500.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang daripada 10 kali nilai barang dan tidak lebih daripada 20 kali nilai barang atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya.