Mengapa PKR di Selangor masih berbaik dengan PAS, soal Chegubard

Chegubard-pas-pkrPETALING JAYA: Bekas aktivis PKR mempersoalkan sikap segelintir pemimpin parti itu di Selangor yang masih meminta rakyat menyokong PAS, walaupun parti Islam itu didakwa bersekongkol dengan Umno.

“Pemimpin pembangkang seperti PKR tampil atas beberapa pentas khususnya bersama Amanah menyatakan PAS alat BN, tetapi dalam masa sama ada pula sekumpulan pemimpin PKR lain muncul atas pentas PAS meminta rakyat terus menyokong PAS,” kata Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard, yang dipecat PKR pada Ogos tahun lalu.

Beliau berkata demikian mengulas pendedahan Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli semalam, yang bekas timbalan presiden PAS Datuk Nasharudin Mat Isa pernah menerima sejumlah wang yang berkait dengan dana 1MDB yang didakwa disalurkan ke akaun peribadi presiden Umno.

Chegubard yang menyokong pendedahan itu bagaimanapun berkata ia bukan sesuatu yang baharu, malah pernah disebutkan olehnya sebelum Rafizi mengumumkan kandungan akuan berkanun semalam.

Beliau berkata walaupun tindakan itu bagi membuktikan usaha Datuk Seri Abdul Hadi Awang membawa rang undang-undang meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 adalah “permainan politik”, ada pemimpin PKR yang masih mempertahankan PAS.

Menurutnya, tindakan Rafizi membongkar PAS menerusi “parlimen olok-olok” yang dianjurkan pembangkang selepas tamat sesi Dewan Rakyat minggu lalu disusuli dengan “pusingan U” oleh PKR untuk menyokong hak Hadi membentangkan RUU itu.

“Tiba-tiba Anwar (Ibrahim) mengeluarkan surat menyatakan menghormati hak Hadi Awang dalam membentang usul tersebut, yang mana kemudian PKR membuat pusingan U dengan menyatakan atas semangat surat dari penjara itu maka PKR menyatakan pendirian menyokong usul Hadi Awang.

“Rakyat makin pening nak sokong ke nak bantah? Tindakan Hadi Awang ini betul atau hanya dia sekadar boneka BN?” soal Chegubard.

Akuan berkanun yang ditandatangani Rafizi semalam mendakwa Nasharudin, yang kini mengetuai Gerakan Kesederhanaan Global (GMM) tajaan Putrajaya, menerima sejumlah wang yang didakwa berasal dari SRC International, anak syarikat 1MDB yang menjadi fokus kontroversi sejak 2 tahun.

Rafizi, berdasarkan percakapannya dengan seorang bekas pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), mendakwa dana tersebut pada awalnya disalurkan ke akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, dan kemudian, sejumlah wang disalurkan kepada peguam tertentu sebelum sampai ke akaun Nasharudin.

Rafizi berkata perkara itu turut diketahui Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS, Khairuddin Aman Razali, dan menyeru parti itu menyiasat sama ada ia menerima dana itu yang memberi kesan terhadap suaranya dalam membangkitkan isu berkait skandal 1MDB.

Rafizi: Bekas timbalan presiden PAS Nasharudin terima wang 1MDB