Polis tidak pernah hentikan siasatan ke bunuh bekas Adun Alor Limbat

Rosli-Ab-Rahman_Alias-Abdullah_polis_600

KUALA NERUS: Polis Terengganu tidak pernah menghentikan siasatan kes pembunuhan bekas Adun Alor Limbat Alias Abdullah pada Oktober 2015.

Ketua Polis Terengganu Datuk Rosli Ab Rahman berkata siasatan dan risikan diteruskan bagi mencari petunjuk baharu walaupun kes bunuh itu berlaku hampir 2 tahun lalu memandangkan ia dikategorikan sebagai kes berprofil tinggi.

“Memang siasatan ini mengambil masa yang agak lama,” katanya kepada pemberita selepas program ramah mesra dan ronda cakna Skim Rondaan Sukarela (SRS) bersama ketua polis Terengganu, di sini, malam tadi.

Katanya gerakan memburu suspek masih giat dilakukan dan polis yakin kes itu akan dapat diselesaikan dengan kepakaran dan bantuan Bukit Aman.

Alias maut akibat ditembak pada jarak dekat oleh seorang lelaki tidak dikenali di rumahnya di Kampung Alor Limbat, Bukit Payong, Marang selepas pulang daripada solat Jumaat.

Rosli berkata polis juga masih menyiasat kes pembunuhan sepupu Alias, Mat Jusoh Ali, 56, atau dikenali dengan panggilan Cikgu Zaki, yang ditembak 2 bulan sebelum itu iaitu pada 9 Ogos.