Aplikasi jadual bas perantara bakal diperkenal

Liow-Tiong-Lai-bas-perantaraKUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan akan memperkenalkan 1 aplikasi baharu bagi membolehkan pengguna pengangkutan awam mendapatkan maklumat mengenai jadual bas perantara, bermula suku ke-3 tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, aplikasi yang sedang dibangunkan tersebut akan dapat diakses secara dalam talian menggunakan telefon pintar.

“Apabila dilancarkan, aplikasi ini akan memudahkan orang ramai menggunakan perkhidmatan bas perantara seperti yang telah dilaksanakan sekarang untuk kemudahan GrabCar dan Uber.

“Pengguna hanya perlu memasukkan data, contohnya dari Kuala Lumpur ke Lembah Klang, dan mereka boleh tahu di mana bas berada, bas perantara apa yang melalui laluan tersebut kerana semua perkhidmatan bas awam berdaftar dengan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD),” katanya selepas merasmikan Ekspo Hartanah Malaysia di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, projek Bas Rapid Transit (BRT) dari Kuala Lumpur ke Klang dijangka akan dimulakan tahun ini dan siap pada 2020.

“Tender untuk projek ini telah dibuka dan akan ditutup pada Mei ini… kami jangkakan pembinaan BRT KL-Klang dengan 26 stesen melalui jalan persekutuan ini akan memakan masa 2 hingga 3 tahun,” katanya.