Bekas wartawan Mazidul: ‘Saya fikir saya seperti kain buruk tetapi…’

Syahril-A.-Kadir-eseiKUALA LUMPUR: Pertubuhan Bina Bangsa, sebuah pertubuhan bukan kerajaan, menganjurkan pertandingan menulis esei ‘Anugerah Mazidul Akmal Sidek’ bertujuan menggalakkan budaya menulis dalam kalangan pelajar sekolah.

Pengerusinya Syahril A. Kadir berkata, pertandingan yang terbuka kepada pelajar sekolah menengah itu menawarkan hadiah wang tunai RM1,500 bagi tempat pertama, RM1,000 (tempat ke-2) dan RM500 (tempat ke-3) untuk setiap kategori.

“Ia sebagai menghargai sumbangan Mazidul Akmal, bekas wartawan penyiaran dalam bidang kewartawanan. Esei yang dipertandingkan mestilah berbentuk laporan penyiasatan,” katanya kepada pemberita ketika melawat Mazidul Akmal di kediamannya di Kota Damansara, hari ini.

Turut hadir, bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar.

Syahril berkata, penyertaan pertandingan akan dibuka dalam masa terdekat dan semua penyertaan boleh dihantar ke e-mel pertubuhan itu di [email protected]

Sementara itu, Mazidul Akmal yang diserang angin ahmar pada Jun 2014 dan menjalani beberapa pembedahan sehingga mengehadkan pergerakannya dan terpaksa menamatkan kerjaya dalam dunia penyiaran berkata, beliau gembira dan terharu menerima penghargaan daripada pertubuhan berkenaan.

“Saya fikir saya seperti kain buruk tetapi dengan program ini saya rasa amat gembira,” katanya.

Pertubuhan Bina Bangsa ditubuhkan secara rasmi pada Februari lalu, dan dianggotai oleh mereka yang sudah lama berkecimpung dalam dunia sukarelawan dan kemanusiaan.