Bunuh diri: Pakar kata mangsa perlu sokongan bukan hukuman

ukm_law_600

PETALING JAYA: Ahli psikologi kecewa dengan keputusan mahkamah baru-baru ini yang mengenakan denda RM2,000 terhadap seorang penganggur wanita yang cuba membunuh diri.

“Dia sepatutnya dirawat dengan penuh keprihatinan,” kata Pesyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris Dr Fauziah Mohd Sa’ad dan Prof Hilwa Abdullah dari Universiti Kebangsaan Malaysia dalam temu bual dengan FMT.

Mengulas keputusan Mahkamah Majistret Petaling Jaya Khamis lalu, Fauziah berkata mangsa, Yew Kah Sin, 24, akan mengalami tekanan lebih besar melalui hukuman itu.

“Saya faham cubaan membunuh diri menyalahi undang-undang, tapi sebagai ahli psikologi, saya rasa kita perlu ada belas kasihan,” katanya.

“Seseorang yang cuba membunuh diri biasanya mengalami tekanan dan tidak dapat berfikir dengan jelas.

“Saya rasa mahkamah perlu terlebih dahulu merujuknya kepada pakar psikologi dan jika didapati dia tertekan, maka dia perlu diberi sokongan.”

Fauziah berkata ia menjadi kes berbeza jika orang yang tidak benar-benar mahu membunuh diri tetapi terpaksa melakukan tindakan berbahaya sebagai cara mendapatkan perhatian.

“Ia boleh jadi ada sesuatu yang hanya pakar psikologi boleh menilainya dengan tepat,” katanya.

Hilwa juga berkata sokongan emosi perlu apabila berurusan dengan orang yang cuba membunuh diri.

“Apabila mereka mahu membunuh diri, mereka tidak memikirkan apa-apa lagi.

“Selepas cubaan itu, mereka perlu berdepan dengan tekanan lain pula, kadang-kadang daripada orang tersayang.

“Untuk menangani masalah ini, kita memerlukan pihak berkepentingan seperti ahli keluarga, majikan, pihak berkuasa dan masyarakat keseluruhannya untuk menyokong dan bukannya tertumpu kepada hukuman semata-mata.”

Yew mengaku bersalah cuba membunuh diri dengan mengelar pergelangan tangan kiri dan kanannya dengan pisau.

Beliau dimasukkan ke hospital dan menerima 30 jahitan.

Majistret Salamiah Salleh berkata membunuh diri bukan penyelesaian tidak kira berapa banyak tekanan yang dihadapi seseorang.

Hukuman yang dikenakan itu menjelaskan cubaan membunuh diri adalah satu jenayah, katanya.