Noh kesal pembangkang kritik usaha pihak berkuasa

noh-omar_sprm_rasuah_600

TANJONG KARANG: Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor Tan Sri Noh Omar kesal dengan sikap pembangkang yang mengkritik serta mempersoal tindakan pihak berkuasa apabila ada pemimpin mereka disiasat atas dakwaan penyelewengan atau rasuah.

Beliau berkata pembangkang sepatutnya bersikap terbuka dengan memberi kerjasama kepada pihak berkuasa bagi memastikan siasatan berjalan lancar.

“Masalah dengan pembangkang apabila pihak berkuasa mengenakan tindakan terhadap anggota Barisan Nasional, baru mereka nak puji.

“Tetapi apabila tindakan dikenakan terhadap pemimpin mereka, pihak berkuasa pula dikutuk, dikritik, seolah-olah mereka tidak pernah buat salah dan bersih,” katanya kepada pemberita semalam.

Noh yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata demikian merujuk kepada kritikan pembangkang berkaitan penahanan pemimpin muda PKR oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan kekayaan luar biasa yang dimilikinya.

Ketika ditanya kesediaan SPRM membuka kembali kertas siasatan berhubung kes pemilikan harta Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sewaktu menjadi setiausaha sulit kepada timbalan perdana menteri dan menteri kewangan, 22 tahun lalu, Noh berkata menteri besar Selangor itu tidak perlu gentar dan bersikap lebih terbuka.

“Jika SPRM mempunyai sebab atau bukti baru berhubung kes itu adalah menjadi tanggungjawab SPRM untuk membuka kembali kertas siasatan.

“Kita serahkan sepenuhnya perkara ini kepada SPRM dan percaya suruhanjaya itu mempunyai kebijaksanaan tersendiri untuk mengendalikannya,” kata Noh.