Rafizi suruh Nasharudin isytihar harta

rafizi-nasharudin2

PETALING JAYA: Naib Presiden PKR Rafizi Ramli menyarankan bekas timbalan presiden PAS Datuk Nasharudin membuat mengisytihar menggunakan kaedah akaun berkanun semua hartanya setiap tahun bermula dari 2012 hingga 2017.

Beliau berkata sementara menunggu proses saman yang mungkin memakan masa, beliau sarankan Nasharudin mengambil jalan lebih mudah dan membuktikan kebenaran.

“Saya sarankan dia isytihar harta, pendapatan dan sumbangan kepadanya secara peribadi serta semua organisasi yang dia terajui seperti Yayasan Nassar dan mana-mana projek lain.

“Dia juga perlu perincikan dalam akuan berkanun itu bagaimana harta, pendapatan dan sumbangan itu dibelanjakan dan kepada siapa wang yang disumbangkan kepada dia dibelanjakan,” kata Rafizi dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata pengisytiharan itu tidak susah kerana beliau melakukannya setiap tahun, sambil mengingatkan Nasharudin terdapat beratus akauntan dan peguam yang akan meneliti satu persatu ayat di dalam akuan berkanun berkenaan.

“Jika ada maklumat tidak tepat, akan ada rakyat Malaysia membuat laporan polis terhadapnya dan dia boleh dipenjarakan.”

Saranan beliau itu susulan penafian Nasharudin semalam menolak dakwaan beliau pernah menerima sejumlah wang berkait 1MDB, menyifatkan tuduhan yang terkandung dalam akuan berkanun Rafizi sebelum ini sebagai tidak berasas.

Tuduhan itu katanya tidak ada kaitan dengan dirinya, berunsur fitnah dan berniat jahat terhadapnya PAS.

Bagaimanapun Rafizi yakin dengan maklumat yang diterima dan mengakui mengisytihar hartanya melalui akuan berkanun sepanjang masa.

“Kalau dia tidak terima satu sen pun dari mana-mana sumber SRC Internasional Sdn Bhd, dia perlu isytihar semua hartanya dengan segera.”

Beliau juga menunggu jika Nasharudin ingin menyamannya sambil berkata beliau akan menunggu untuk menyoal siasat Nasharudin dalam kandang saksi.

“Saya ada beratus-ratus soalan mengenai penglibatannya dalam melobi pimpinan PAS supaya menjadi ‘lunak’ dengan pentadbiran Datuk Seri Najib Razak, sehingga PAS dilihat tidak lantang memperjuangkan salahlaku perdana menteri dalam skandal 1MDB.”