Sistem Mata Demerit libatkan 2 kesalahan utama kuat kuasa hari ini

jpj_camera_light_600

YAN: Pelaksanaan Sistem Mata Demerit yang berkuat kuasa hari ini, diharap akan dapat mendidik masyarakat mematuhi peraturan jalan raya dan mengutamakan keselamatan semasa berada di jalan raya.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Yusoff Ayob berkata, pelaksanaannya melibatkan 2 kesalahan utama iaitu perlanggaran lampu merah dan memandu melebihi had laju.

“Tempoh 2 minggu untuk percubaan telah tamat semalam, dan hari ini Sistem Mata Demerit akan mula dikuatkuasakan, melibatkan 2 kesalahan utama iaitu melanggar lampu merah dan memandu melebihi had laju.

“Menerusi reaksi yang diterima di laman sosial dan portal JPJ, ramai yang menyokong usaha ini dan ia dilihat merupakan langkah yang baik dalam mendidik masyarakat mematuhi undang-undang di jalan raya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Satu Komuniti Satu JPJ (SKSJ) Jerai di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Yan dekat sini, hari ini.

Beliau berkata, pelanggaran lampu isyarat merah dan memandu melebihi had laju merupakan faktor penyumbang kepada berlakunya kemalangan.

“Dua kesalahan ini merupakan kesalahan yang paling banyak menyumbang kepada berlakunya kemalangan, bagaimanapun terdapat lebih 20 kesalahan lain yang akan dimasukkan dari semasa ke semasa.

“Saya juga berharap agar orang ramai menyambut baik usaha ini dan mematuhi undang-undang jalan raya bagi mengelakkan berlakunya kejadian yang tidak diingini,” kata Yusof.