Eksport kasut buatan Malaysia ke Rusia naik 3000%

made-in-malaysiaPETALING JAYA: Eksport kasut buatan Malaysia ke Rusia meningkat sehingga 3000% dalam tempoh 2 tahun lalu.

Jumlah kasut buatan Malaysia yang dieksport ke Rusia meningkat daripada RM1.386 juta pada 2014 kepada RM2.09 juta pada 2015 dan RM42.478 juta pada 2016, peningkatan sebanyak 3064.79%.

Pengerusi Persatuan Pengilang Kasut Malaysia, Tony Ting dipetik Nanyang Siang Pau berkata, pengimport Rusia membuat tempahan besar selepas mendapati kasut buatan Malaysia murah, cantik dan jauh lebih berkualiti daripada negara lain.

Akhbar itu melaporkan Rusia mempunyai 143.43 juta penduduk dan kasut merupakan pasaran ke-3 terbesar selepas makanan dan pakaian, dengan jumlahnya mencecah RM54.9 bilion bagi tempoh 6 bulan pertama 2016.

Menurut laporan Nanyang Siang Pau, selain Rusia, jumlah eksport kasut buatan Malaysia ke negara lain turut mengalami peningkatan mendadak.

“Walaupun kemerosotan nilai ringgit boleh merangsang pengeksportan, tetapi secara keseluruhan, tukaran mata wang bukan satu-satunya faktor, contohnya eksport ke Korea Selatan dan England naik lebih 4 kali ganda dan 2 kali ganda dalam tempoh 2 tahun.”

Selain Rusia, kasut buatan Malaysia yang dieksport ke Korea Selatan meningkat 468% atau daripada RM5.47 juta pada 2014 kepada RM25.61 juta (2016), England (daripada RM15.49 juta pada 2014 kepada RM43.91 juta pada 2016, meningkat 283%), Jepun (daripada RM9.94 juta kepada RM18.79 juta, naik 88.96%).

Kasut buatan Malaysia turut dieksport ke Emiriyah Arab Bersatu (daripada RM21.57 juta pada 2014 kepada RM38.73 juta pada 2016, meningkat 79.56%), Vietnam (RM19.9 juta pada 2014 kepada RM29.15 juta pada 2016, naik 46.43%), Indonesia (RM37.39 juta pada 2014 kepada RM46.31 juta pada 2016, naik 23.85%) dan Singapura (RM181.3 juta pada 2014 kepada RM254.6 juta pada 2016, meningkat 13.27%).