Kit Siang: Hargai jasa Karpal dengan pilih Pakatan terajui Putrajaya

kit-siang-karpal

PETALING JAYA: Sempena ulang tahun ke-3 memperingati mendiang Karpal Singh, Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang menyeru rakyat Malaysia membawa kemenangan kepada parti itu dan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Terdapat 2 cara untuk mengingati dan menghormati Karpal, yang meninggalkan kita 3 tahun lalu dengan banyak perkara yang belum selesai untuk negara,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Gelang Patah berkata, kerajaan Pulau Pinang pimpinan DAP perlu dipilih semula untuk penggal ke-3 manakala PH harus dibolehkan membentuk kerajaan persekutuan demi menyelamatkan Malaysia daripada menjadi sebuah negara yang gagal dan penyangak.

Kit Siang menyifatkan Karpal, bekas pengerusi DAP dan ahli Parlimen lapan penggal semasa meninggal dunia, sebagai gergasi yang berdedikasi, yang hidup demi pembangunan negara yang adil, saksama dan demokratik.

Beliau berkata, dengan PRU14 mungkin diadakan dalam tempoh 5 bulan akan datang, memastikan kemenangan pembangkang adalah prasyarat ke arah menjadikan Malaysia gemilang dengan membetulkan atau meninggalkan dasar-dasar yang merugikan negara.

Karpal, 74, meninggal dunia dalam kemalangan semasa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang di Lebuhraya Utara-Selatan pada 17 April 17 2014.

Katanya, rakyat Malaysia telah diberi peringatan mengenai “kegagalan kita dalam membina negara” oleh Korea Selatan yang menyaksikan Presidennya, Park Geun-hye sedang dicabar berhubung kesalahan rasuah.

Beliau berkata, Korea Selatan merupakan sebuah negara miskin dan mundur 60 tahun yang lalu, dengan pendapatan per kapita hanya satu pertiga daripada Malaysia.

“Hari ini, Korea Selatan sebuah negara yang paling kaya, paling maju dan makmur di dunia,” katanya.

“Enam puluh tahun yang lalu, mana-mana idea demokrasi dan hak asasi manusia di Korea Selatan tidak wujud kerana diperintah oleh diktator.

“Tetapi hari ini, Parlimen Korea Selatan boleh mencabar presiden Korea Selatan,” kata beliau sambil menambah, 8 hakim telah sebulat suara mengekalkan perkara itu.

Justeru, beliau bertanya sama ada rakyat Malaysia boleh melakukan perkara yang sama terhadap kepimpinan negara yang beliau dakwa berhadapan dengan penghinaan antarabangsa, yang disifatkan sebagai satu kleptokrasi.