Pintu kembali ke Umno sentiasa terbuka, kata Zahid

zahid-umno-1

PETALING JAYA: Pintu Umno sentiasa terbuka luas kepada bekas pemimpin dan ahlinya yang mahu kembali berjuang dalam parti dominan Barisan Nasional (BN) itu, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Umno dan BN, kata beliau, tiada masalah untuk menerima semula mereka yang kecewa dan mahu kembali ke pangkal jalan dengan menyertai perjuangan Umno serta kerajaan sedia ada.

“Saya tidak mahu menamakan sesiapa tetapi kepada mereka yang mahu bersama kita, pintu terbuka luas dan ini termasuk mereka yang terpijak kulit pisang.

“Jangan sampai ada penyesalan dalam diri kerana penentangan tidak memberi sebarang makna.”

Dipetik BH Online, Zahid yang sedang menjalankan tugas-tugas timbalan presiden Umno berkata, “kita kena belajar daripada sejarah kerana ia adalah cermin untuk melihat kehidupan masa hadapan.”

“Jangan buat keputusan ketika marah atau sedih kerana ia adalah keputusan yang tidak betul.

“Kita perlu membuat keputusan ketika tenang,” kata Zahid, Naib Presiden Umno dan Timbalan Pengerusi BN ketika merasmikan Akademi Pengajian al-Quran Semporna di Asrama Yayasan Sabah di Semporna, hari ini.

Laporan itu menyebut Zahid juga melahirkan keyakinan BN masih mendapat sokongan rakyat Semporna walaupun Parlimen itu adalah kawasan bekas Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang menubuhkan Parti Warisan Sabah.

Selain beliau, pemimpin Umno lain yang dipecat Umno atau kelua parti itu termasuklah Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Walaupun ada usaha dilakukan untuk menarik sokongan akar umbi Umno dan BN beralih arah dengan menyokong parti terbabit, Zahid berkata, realitinya rakyat mahu kerajaan sedia ada kekal mentadbir negeri.

“Saya yakin bukan hanya kepemimpinan di Semporna, malah kita boleh mantapkan sokongan rakyat di peringkat akar umbi Umno dan BN di seluruh negeri.

“Pembangkang tetap pembangkang dan tidak apa perlu dibimbangkan. Kita tidak akan jadi ‘anggota bomba’ untuk memadam api yang dinyalakan pembangkang, tetapi kita akan memusnahkan api berkenaan dengan sokongan rakyat di peringkat akar umbi,” kata Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri.