Polis: Peter Chong dakwa diculik semasa jejak Pastor Raymond

amar-singh

KUALA LUMPUR: Aktivis Peter Chong, yang kembali ke tanah air hari ini selepas hilang lebih seminggu, mendakwa dia diculik ketika berada di Thailand untuk mendapatkan maklumat tambahan mengenai penculikan Pastor Raymond Koh, kata polis.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata, Chong yang kembali ke Malaysia hari ini selepas hilang selama 11 hari memberitahu polis Malaysia yang dia pergi ke Thailand untuk bertemu dengan seseorang yang mempunyai maklumat mengenai Pastor Raymond.

“Menurut dia, dia pergi ke Hadyai dengan niat untuk bertemu dengan sumbernya yang akan mendedahkan maklumat lanjut mengenai kehilangan Pastor Raymond.

“Sebaik tiba di Hadyai dia mendakwa diculik dan dibawa ke Pattaya. Setelah dibebaskan, dia menghubungi anaknya yang membeli tiket pulang,” kata beliau.

Awal hari ini, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menerusi Twitter memberitahu yang Chong telah pulang dari Pattaya, Thailand ke Malaysia tengah hari tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur SAC Rusdi Mohd Isa berkata, Chong yang juga bekas pembantu Ahli Parlimen Subang, R. Sivarasa, tiba dari Pattaya, Thailand kira-kira pukul 12 tengah hari dengan menaiki pesawat Malindo Air.

“Sejurus tiba, kita mengambil keterangan daripadanya bagi melengkapkan kertas siasatan. Chong turut dilaporkan sihat,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Anaknya, Darryl membuat laporan polis mengenai kehilangan bapanya 8 April lalu selepas usaha menghubunginya gagal. Kes itu kemudiannya diklasifikasikan sebagai laporan orang hilang.

Susulan itu, Polis Kuala Lumpur menubuhkan pasukan petugas bagi melihat kes itu “dari semua sudut.”

Chong, bekas ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya terakhir dilihat meninggalkan rumahnya di Persiaran Raja Chulan, Kuala Lumpur, pada 5 April lalu.

Pada 31 Mac lalu, Chong menerusi catatan Facebooknya mendakwa didekati individu tidak dikenali yang mengingatkannya “berhati-hati” ketika negara dikejutkan dengan kes kehilangan Pastor Raymond Koh, Pastor Joshua Hilmy dan isteri, Ruth, serta aktivis Perlis Hope, Amri Che Mat.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/04/16/peter-chong-sudah-pulang-kata-ketua-polis-negara/