Saya sedia disiasat SPRM, kata ketua Wanita PKR

zuraida-kamarudinPETALING JAYA: Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin bersedia disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan penahanan Datuk Adam Rosly berhubung dakwaan memiliki kekayaan luar biasa.

Ketua Wanita PKR itu yang dipetik Sinar Harian semalam berkata, beliau akan memberi kerjasama penuh jika disiasat SPRM, tetapi berharap siasatan itu dijalankan secara adil dan berintegriti tanpa sebarang campur tangan politik.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas penahanan Adam yang juga ketua Pemuda PKR Ampang di ibu pejabat SPRM di Putrajaya pada petang Khamis lalu, sebelum remannya dilanjut selama 5 hari bermula Jumaat lalu.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki dilaporkan berkata, Adam disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram serta Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

Pada 17 November 2016, Exco Pemuda Umno, Datuk Armand Azha Abu Hanifah dilaporkan mendakwa Adam memiliki kekayaan luar biasa pada usia 28 tahun kerana menjadi perantara Zuraida dan kerajaan Selangor untuk mendapatkan projek di negeri itu.

“Kami dimaklumkan banyak urusan pentadbiran untuk dapatkan projek pasir harus bayar sebilangan kecil komisen kepada Adam. Adam ini jadi ‘player maker’ dalam Selangor,” dakwa Armand.

Bagaimanapun, Zuraida menafikan dakwaan itu dan berkata, Adam tidak pernah dilantik sebagai pegawai khas kepadanya mahupun Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Dalam pada itu, Zuraida mempersoalkan kewajaran SPRM menyambung reman Adam.

“Saya tidak pasti mengapa SPRM menyambung penahanan reman terhadapnya. Kalau sebab beliau ditahan kerana kekayaan luar biasa, jadi adakah bermakna memiliki kekayaan luar biasa itu menjadi kesalahan?

“Bermakna alasan sama menjadi asas SPRM untuk menahan orang politik yang kaya luar biasa selepas ini. Tapi saya difahamkan peguamnya, SPRM seperti tiada sebarang bukti untuk membuat tuduhan dan memerlukan lebih masa menjalankan siasatan,” katanya.

 

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/04/14/adam-rosly-direman-5-hari-dakwaan-banglo-kereta-mewah/