Subra gesa LHDN, MMA bincang formula terbaik tangani isu cukai

subra-lhdn-mma-3

CAMERON HIGHLANDS: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) diminta mengkaji semula dan mencari penyelesaian berhubung sistem pembayaran cukai pendapatan dalam kalangan pengamal perubatan bagi mengelakkan kekeliruan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S.Subramaniam berkata, LHDN dan Persatuan Perubatan Malaysia perlu berbincang kaedah terbaik bagi mencari penyelesaian tersebut kerana pentaksiran cukai itu telah lama diamalkan.

Katanya, sudah menjadi amalan doktor pakar di hospital swasta sebelum ini untuk berfungsi sebagai 1 syarikat yang menawarkan perkhidmatan dan mengisytiharkan pendapatan mereka sebagai pendapat syarikat sendirian berhad.

“Kadang-kadang mereka ada pengarah-pengarah syarikat yang mendapat ganjaran dan ini merupakan 1 perkara yang menjadi amalan untuk 1 jangka masa panjang.

“Namun, sekarang ini, saya diberitahu ada perubahan dalam pengamalan ini. Jadi, ia mungkin menjadi punca mengapa masalah ini wujud,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kem Nak Sihat di Perkampungan Orang Asli Kampung Leryar, Pos Menson dekat sini hari ini.

Dr Subramaniam berkata demikian bagi mengulas pendedahan LHDN dalam laporan akhbar hari ini bahawa terdapat 3,001 doktor pakar dikesan terlibat dalam kes melakukan pengelakan cukai pendapatan melampau daripada yang sepatutnya dibayar.

Semalam, Ketua Pegawai Eksekutif LHDN Datuk Sabin Samitah berkata, sebanyak 2,229 daripada jumlah doktor pakar yang dikesan telah tampil membuat pengakuan secara sukarela dengan amaun cukai dan penalti bersih telah dikenakan berjumlah sekitar RM400 juta.

Sementara selebihnya akan diaudit dalam masa terdekat dan akan didaftarkan dalam senarai Pemantauan Pembayar Cukai Gagal Patuh (PPGP) jika penemuan audit menunjukkan mereka tidak mematuhi layanan cukai yang sepatutnya.

Dr Subramaniam berkata, isu tersebut timbul setelah LHDN melakukan perubahan dalam sistem pembayaran biarpun amalan tersebut telah lama dipraktikkan.

Menurutnya, beliau telah meminta pihak LHDN mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka terlibat sama ada doktor atau bukan doktor.