Takiyuddin tarik diri tanding naib presiden PAS

Takiyuddin HassanPETALING JAYA: Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan menarik diri daripada bertanding jawatan naib presiden pada pemilihan yang akan berlangsung akhir bulan ini.

Kata Takiyuddin, beliau membuat keputusan itu memandangkan mempunyai keyakinan penuh terhadap kepimpinan tertinggi PAS pusat sedia ada dan melihat keserasian dalam kepimpinan kini yang melibatkan presiden, timbalan presiden dan naib-naib presiden.

“Saya yakin komposisi sedia ada ini akan mampu membawa PAS menuju masa depan yang lebih cemerlang, khusus untuk menghadapi PRU14 nanti,” kata beliau dalam satu kenyaatan dikeluarkan hari ini.

Ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata, beliau juga mengisytiharkan menarik diri dari bertanding jawatan ahli jawatankuasa kerja bagi memberi peluang kepada calon-calon lain menawarkan diri untuk memberi khidmat terbaik mereka kepada parti.

“Saya bersedia menerima sebarang jawatan lantikan yang difikirkan sesuai oleh presiden parti dan insya-Allah akan memberikan sumbangan terbaik sekiranya diberikan amanah tersebut nanti.”

Beliau merupakan setiausaha agung sejak pemilihan yang diadakan 2 tahun yang lalu.

Sebelum ini, salah seorang naib presiden, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, beliau akan mempertahankan jawatannya dalam pemilihan parti itu.

Turut dicalonkan termasuklah 2 penyandang iaitu Ahli Parlimen Bukit Gantang, Idris Ahmad dan Exco Kanan Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad.

Calon lain ialah Ketua Penerangan PAS yang juga Ahli Parlimen Temerloh Nasruddin Hassan.

Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man telah pun diumumkan menang tanpa bertanding jawatan masing-masing sebagai presiden dan timbalan presiden.