Ular, buaya, syaitan: Hadi serang lagi pengkritik RUU 355

Abdul-Hadi-Awang_law_islam_600PETALING JAYA: Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sekali lagi menyerang mereka yang mengkritik usahanya untuk memperkenalkan hukuman lebih berat di bawah Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965, dengan menggunakan pelbagai perumpamaan membidas penentang rang undang-undang meminda akta itu, atau RUU 355.

“Disebabkan setiap perjalanan menuju Islam itu pasti diganggu oleh syaitan yang sentiasa mengekori di sepanjang jalan dan masa, termasuk perkara paling asas dan mudah seperti mengambil wuduk dan sembahyang pun ada was-was syaitan.

“Maka, begitulah RUU 355 terus menghadapi gangguan syaitan besar dan kecil, sekurang-kurangnya mewas-waskan hati manusia,” kata Hadi dalam penulisan terbarunya.

Pada 6 April, Hadi membentangkan RUU 355 di Dewan Rakyat, bagi membenarkan hukuman lebih berat ke atas pesalah syariah.

Ia bagaimanapun disusuli kekecohan apabila beberapa wakil rakyat Pakatan Harapan bangun mempersoalkan tindakan Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia kerana menangguhkan sesi Dewan Rakyat tanpa memberi laluan untuk perbahasan.

Hadi memuji tindakan Pandikar, dan berkata ia memberikan peluang supaya RUU itu dibahaskan secara lebih terperinci apabila Dewan Rakyat bersidang lagi pada Julai, sambil menyifatkan kaedah yang digunakan PAS sebagai “proses demokrasi paling lembut perjalanannya”.

Ular dan buaya timbul

Penulisan Hadi yang sarat menggunakan bidalan dan perbandingan itu berkata, RUU itu disokong oleh PAS dan wakil rakyat Umno, “namun kepada penentangnya laksana batu besar yang dicampak ke dalam lubuk tenang yang tidak disangka adanya buaya, bukan sahaja ikannya terkejut gelombangnya”.

“Tiba-tiba semua menimbulkan diri, termasuk ular dan buaya paling besar menerkam dengan rakus menempik segala hujah, termasuk mencetuskan perkara yang tersasul tidak ada kena mengena dengan tajuk RUU 355, apabila menimbulkan Peraturan Mesyuarat yang tidak menyentuhnya sedikit pun, niatnya untuk memamah masa supaya tidak ada ruang langsung bagi RUU 355,” katanya.

Sebelum Hadi berucap membentangkan usulnya pada 6 April, pemimpin DAP yang juga ahli Parlimen Gelang Patah bangun mendakwa Speaker tidak mematuhi Peraturan Mesyuarat.

Hadi berkata cadangan melaksanakan hukuman lebih berat ke atas pesalah syariah adalah sesuatu yang asas dan menerima sokongan padu umat Islam walau pun yang pegangan agama mereka “sebesar zarah paling halus”.

“RUU 355 berjaya sehingga menyatukan semua penganut Islam termasuk paling jahil agamanya, namun masih wujud jati diri Islamnya tanpa mengira aliran politik dan pendidikan, kecuali segelintir yang terpinggir laksana melukut di tepi gantang.”

Sebaliknya, Hadi menganggap mereka yang menentangnya melakukan demikian secara membabi buta.

“Jelas bahawa kalangan yang menentangnya adalah secara yang disebut dalam pepatah Melayu laksana membabi buta. Sudahlah babinya najis, tiba-tiba buta pula,” kata Hadi.

Menurut Hadi, menghalang RUU merupakan “kejahatan yang tidak boleh diizinkan oleh umat Islam”.

“Tindakannya juga mengancam perpaduan masyarakat majmuk dengan maksud melemahkan umat Islam yang menjadi terasnya, tanpa menghargai sikap Islam yang terbuka dan fleksibel terhadap semua.”