Wanita mengandung maut akibat H1N1 di Terengganu

pregnant-womanKUALA TERENGGANU: Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu mengesahkan seorang wanita mengandung meninggal dunia akibat virus Influenza A H1N1 sepertimana yang tular dalam media sosial baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Mohammad Omar berkata, wanita itu dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) pada 7 April lalu, selepas seminggu demam dan meninggal dunia pada 13 April lalu.

“Antara golongan berisiko tinggi dijangkiti virus itu ialah ibu mengandung selain kanak-kanak, warga tua dan mereka yang mempunyai penyakit seperti kencing manis,” katanya pada sidang media malam tadi.

Beliau berkata, masyarakat tidak perlu panik tentang virus itu kerana bermula 2013, penyakit itu tiada lagi keperluan dilaporkan kepada Kementerian Kesihatan memandangkan ia dikategorikan sebagai influenza bermusim.

“Ini kerana virus tersebut sudah dikategorikan sebagai selesema biasa, kemungkinan bila ada orang kena selesema sekarang, dia mungkin turut terkena H1N1 jika ada komplikasi.

“Di Malaysia, sebelum 2013, hanya 27 kes sahaja, iaitu di Sarawak dan kini di HSNZ sebanyak 10 kes setiap bulan yang disyaki menjangkiti virus tersebut…dan kebanyakan daripada mereka yang terkena virus ini boleh pulih seperti biasa jika terus dirujuk kepada pakar,” katanya.

Katanya, mereka yang mempunyai simptom penyakit itu perlu segera ke hospital dan dinasihat tidak bercampur dengan orang luar, tidak ke tempat terbuka dan perlu memakai topeng mulut dan hidung jika berada di tempat awam.