DAP: Malaysia tiada sebab lindungi Zakir Naik

kulasegaran

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Ipoh Barat menggesa kerajaan untuk tidak menyebelahi mana-mana pihak dengan menyediakan perlindungan untuk penceramah kontroversi Zakir Naik yang melarikan diri daripada siasatan undang-undang.

M Kulasegaran berkata demikian susulan laporan pihak berkuasa India ternanti-nanti untuk menyiasat Zakir berhubung ceramah yang didakwa menyebarkan propaganda pengganas.

Sebaliknya, Kulasegaran menyeru Putrajaya supaya bekerjasama dengan New Delhi untuk membanteras jenayah dan salahlaku.

“Kerajaan tidak patut melindungi beliau. Kalau situasi yang sama berlaku pada orang lain, sudah pasti kerajaan tidak akan menyebelahi mana-mana pihak dan menghantarnya pulang,” katanya kepada FMT hari ini.

Awal hari ini, Kulasegaran di Facebook berkata: “Selagi Zakir berada di Malaysia, dia akan mengheret Malaysia bersamanya. Dalam fikiran orang India Malaysia, seorang pelarian nampaknya diberi perlindungan lebih baik daripada orang tempatan.”

Beliau berkata Malaysia tiada sebab untuk menjadi tempat Zakir berlindung, lebih-lebih lagi ia juga boleh memalukan negara di arena antarabangsa.

Kulasegaran, yang juga seorang peguam berkata, Zakir harus pulang dan membersihkan namanya.

“Tiba-tiba Zakir dengan ucapannya diangkat menjadi orang penting di Malaysia, malah Perkasa memberikan penghormatan kepadanya,” kata beliau, merujuk kepada gerakan Perkasa yang mengurniakan Anugerah Bintang Pahlawan Pribumi Perkasa Negara kepadanya atas sumbangan kepada perjuangan Islam.

“Mengapa dia enggan pulang? Sekarang dia mengatakan orang Islam di India tidak diberi layanan adil. Alasan itu tidak berasas kerana ia tiada kena mengena dengan pengubahan wang. Ada banyak wang dipindahkan sana sini.”

Kulasegaran merujuk kepada laporan Hindustan Times 15 April lepas mengatakan pihak berkuasa India memfailkan kertas pendakwaan terhadap Aamir Gazdar, seorang kenalan Zakir, dan Harmony Media Limited kerana didakwa melakukan pengubahan wang bagi pihaknya.

Kertas pendakwaan 1,000 halaman menyeraikan Zakir sebagai tertuduh dalam kes itu, termasuk keterangan daripada saksi dan beberapa dokumen yang menjejaki wang yang diubah.

Times of India melaporkan Agensi Siasatan Kebangsaan India (NIA) mahu mendapatkan notis Interpol terhadap Zakir bagi mengawal pergerakannya di luar Arab Saudi sekiranya beliau enggan tampil untuk disiasat.

NIA mengambil langkah ini selepas penceramah kontroversi itu berulang kali ingkar saman terhadapnya.

Laporan memetik pegawai NIA sebagai berkata notis merah akan dikeluarkan sejurus selepas waran tanpa ikat jamin terhadapnya diperoleh.

November lepas, India mengharamkan Yayasan Penyelidikan Islam yang diasaskan Zakir selama 5 tahun, atas ucapan beliau yang “mengacau dan subversif”.

Zakir bersedia disoal siasat pihak berkuasa India, tetapi hanya melalui media maya kerana bimbang akan diseksa apabila pulang ke India.