Hadi maafkan Nanyang, anggap jahil batas sensitiviti

hadi

PETALING JAYA: Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menjadi sasaran karikatur kontroversi baru-baru ini memaafkan akhbar Nanyang Siang Pau, menganggap perbuatan mereka akibat kejahilan “memahami batasan sensitiviti agama”.

Hadi dalam kenyatan hari ini berkata demikian selepas menerima surat permohonan maaf terbuka daripada akhbar berbahasa Cina itu 12 April lalu.

“Saya dengan ini mengajak umat Islam yang terguris dengan penerbitan karikatur berkenaan agar dapat bersama saya untuk memaafkan pihak akhbar berkenaan, dengan harapan agar ianya tidak berulang lagi di masa depan.

“Saya merasakan bahawa kesilapan penerbitan ini berlaku adalah akibat dari keterlanjuran dan kejahilan dalam mereka memahami batasan sensitiviti agama yang sangat halus garisnya,” kata Hadi.

Hadi menambah permohonan maaf itu boleh menyuburkan keharmonian dan sifat saling faham memahami dalam masyarakat.

Pada 8 April lalu, ruang kartun akhbar itu memaparkan seekor monyet bersongkok dilabel sebagai “speaker” dan seekor lagi memakai serban dinamakan “Hadi Awang” bertenggek di sebatang pokok “Akta 355”, merujuk kepada Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 yang mahu dipinda oleh rang undang-undang persendirian Hadi.

Susulan penyiaran kartun tersebut, beberapa pihak tampil mengkritik Nanyang Siang Pau termasuk pemuda PAS yang menunjuk perasaan di depan ibu pejabat akhbar itu 11 April lalu.

PAS sebelum ini melahirkan rasa tidak puas hati dengan keputusan kementerian dalam negeri untuk tidak mengambil tindakan terhadap Nanyang Siang Pau diatas penyiaran karikatur yang mempersendakan presiden mereka.

Naib Presiden Idris Ahmad mahu KDN memberi amaran keras dengan menggantung permit penerbitan akhbar itu selama 1 minggu, manakala Setiausaha Agung Datuk Takiyuddin Hassan berkata parti tidak akan berkompromi dan mahu mengambil tindakan saman terhadap pihak bertanggungjawab.

Sikap PAS bagaimanapun mendorong aktivis Fahmi Reza menghalakan penanya ke arah Hadi.

Fahmi 15 April lepas memuat naik lukisan protes yang menggambarkan presiden PAS sebagai monyet sambil mengoyak keratan helaian Nanyang Siang Pau, dengan ayat “Seperti kera mendapat bunga”.

“Aku hasilkan karya lukisan itu sebagai bantahan dan kritikan terhadap tindakan PAS dan penyokong PAS yang mengamalkan ‘censorship’ bila mereka cuba sekat sebuah kartun satira yang diterbitkan oleh akhbar Nanyang, tindakan yang aku anggap bercanggah dengan kebebasan ekspresi seni dan kebebasan media,” kata Fahmi.

PAS desak kerajaan gantung permit Nanyang seminggu

PAS mahu KDN kaji semula permit Nanyang