Jangan lupakan orang Asia hamba kereta api maut, kata NGO kepada Jepun

japan-death-railGEORGE TOWN: Sebuah NGO yang mendedikasikan memori rakyat Malaysia yang pernah menjadi mangsa pembinaan landasan keret api api maut Siam-Burma semasa Perang Dunia ke-2 mahu Tokyo mengakui orang Asia yang dikerah menjadi buruh paksa.

Pengerusi Kumpulan Cakna Landasan Keretapi Maut (DRIG) P Chandrasekaran semalam berkata, kerajaan Jepun perlu membuka rekod peperangan mereka bagi menceritakan nasib pekerja yang diperhambakan tentera Nippon untuk projek itu.

Beliau melahirkan rasa kesal, paparan popular tragedi itu banyak berkisar tentang nasib tawanan perang warga negara Barat, terutamanya askar British dan Australia.

Penderitaan yang digambarkan dalam filem klasik yang pernah memenangi Anugerah Akademi, “The Bridge on the River Kwai” hanya menumpu kepada orang Barat semata-mata.

“Orang Asia tidak disebut seolah-olah mereka tidak wujud,” kata Chandrasekaran kepada FMT.

Beliau berkata lebih ramai orang Asia dipaksa bekerja untuk landasan maut itu berbanding orang Barat.

Chandrasekaran menggesa Putera Mahkota Jepun Naruhito, yang dalam rangka lawatan rasmi selama 5 hari ke Malaysia, membantu menarik perhatian dunia kepada perhambaan orang Asia dalam pembinaan kereta api maut Siam-Burma.

Naruhito memulakan lawatannya dengan meletakkan kalungan bunga di Tugu Negara Khamis lalu, bagi memperingati askar Malaysia yang terkorban pada Perang Dunia ke-2.

Chandrasekaran berkata usaha bapa Naruhito, Maharaja Akihito, menyembuhkan “luka peperangan” harus dipuji.

Bagaimanapun, Jepun mesti menebus penderitaan orang Asia yang menjadi mangsa projek mega mereka dengan menyumbang kepada tugu peringatan atau pusat pameran memperingati mereka di tapak sekitar landasan maut.

Dianggarkan lebih 180,000 orang awam dari Asia Tenggara dan kira-kira 60,000 tawanan perang tentera Bersekutu dikerah membina landasan itu. Daripada jumlah itu, kira-kira 100,000 dikatakan orang India dari Tanah Melayu termasuk Singapura.

Projek landasan kereta api sejauh lebih 415 km itu dibina di antara Ban Pong, Thailand dan Thanbyuzayat, Burma.

Ia dibina menggunakan buruh paksa, yang kebanyakannya maut, dari 1943 sehingga Jepun menyerah kalah pada Ogos 1945.

Chandrasekaran berkata, walaupun terdapat banyak rekod tawanan perang orang Barat di arkib Britain dan tempat lain, namun rekod mengenai orang Asia tidak diketahui.

“Hanya Jepun mempunyai rekod. Mereka perlu sediakan maklumat seperti berapa ramai orang awam terlibat, di mana mereka dikebumikan dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata DRIG akan melakukan perjalanan ke Ban Pong bersama salah seorang mangsa rakyat Malaysia yang terselamat, untuk menjejaki semula laluan yang pernah digunakan buruh paksa.

Chandrasekaran berkata ada 4 mangsa landasan keretapi api maut yang masih hidup di negara ini sekarang ini.

“Saya tahu ada lebih ramai lagi tapi kita tidak berhubung dengan mereka,” katanya sambil menambah kebanyakannya berumur dalam lingkungan 90-an.

“Kami hanya mahu Jepun mengakui mereka yang kini berada pada penghujung hayat,” katanya.

“Mungkin terlalu lewat untuk memberi pampasan tapi sejarah kita mesti merekodkan kewujudan mereka dalam episod ini,” katanya.

Beliau berkata tugu peringatan untuk mengakui orang Asia yang menderita dan mati disebabkan landasan maut itu tertunggak kerana semua tanah perkuburan dan tugu peringatan perang yang sedia ada didedikasikan sepenuhnya kepada orang Barat.