Kita tak sorok maklumat MH370, kata menteri

liow-mh370-1

GEORGE TOWN: Tidak adil mengatakan kerajaan Malaysia atau Australia menyorokkan maklumat mengenai kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata demikian menjawab dakwaan waris yang tidak berpuas hati dengan kandungan maklumat sedia ada.

Tiong Lai berkata buat masa ini, semua waris kepada penumpang pesawat yang hilang itu diberi akses kepada butiran siasatan terkini.

Menurut beliau, maklumat disiarkan di laman sesawang dan dikemaskini setiap minggu.

“Semua orang boleh baca apabila laporan siasatan penuh diterbitkan nanti.

“Tak adil tuduh kerajaan Malaysia sorok maklumat.

“Kita tak boleh beri butiran ini kepada semua orang.

“Tak adil tuduh kerajaan Malaysia dan Australia sorok maklumat.

“Kami sangat berterima kasih kepada Australia dan China, yang membantu kita selama ini,” kata Tiong Lai kepada FMT.

Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) dituduh seorang waris sebagai cuba meyembunyikan sesuatu, apabila mereka enggan mendedahkan maklumat mengenai usaha pencarian MH370.

Maklumat tersebut dipohon oleh ahli keluarga penumpang warga China dalam penerbangan malang itu.

Ketua Pesuruhjaya ATSB Greg Hood berkata permohonan mereka ditolak mengikut undang-undang yang melarang pendedahan maklumat yang boleh “menjejaskan hubungan antarabangsa dalam kalangan negara Komanwel”, lapor akhbar The Australian.

Akhbar juga melaporkan beberapa pegawai ATSB meragui pendirian rasmi agensi itu iaitu juruterbang MH370 tidak sedar diri atau meninggal dunia pada penghujung penerbangan itu.

Mereka bimbang beberapa dokumen dibocorkan.

ATSB memberi amaran kakitangan yang membocorkan maklumat mengenai siasatan berdepan hukuman penjara minimum 2 tahun.

Tiong Lai berkata data siasatan dihantar ke pasukan siasatan Annex 13 ke Konvensyen Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).

Katanya orang ramai boleh melihat laporan terakhir daripada data siasatan tersusun itu. Laporan dijangka diterbitkan pada penghujung tahun ini.

Menurut beliau pasukan siasatan keselamatan Annex 13 tersebut, diketuai Kok Soo Chon, bekerja sepanjang masa untuk melengkapkan siasatan.

Soo Chon, bekas ketua pengarah Jabatan Penerbangan Awam, mengetuai panel siasatan yang dianggotai penyiasat dari Amerika Syarikat, China, Perancis, Australia, syarikat pengeluar pesawat Boeing dan syarikat satelist Inmarsat.

MH370 bersama 239 penumpangnya dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014 apabila terputus hubungan dengan kakitangan pusat kawalan udara.

Bukti radar tentera mendedahkan pesawat tiba-tiba menukar arah dari laluan utara menuju ke arah barat.

Data pengesan satelist mengesahkan pesawat hilang di Lautan Hindi, barat daya Australia.

Australia, China dan Malaysia, yang menguruskan dan membiaya operasi pencarian yang diketuai ATSB, mengumumkan pada Januari pencarian MH370 ditangguhkan.

Sebuah flaperon (bahagian pada sayap pesawat), ditemui di Pulau Reunion berhampiran Madagaster, kemudian dilaporkan daripada pesawat itu. Beberapa lagi serpihan ditemui di beberapa tempat, dipercayai dibawa oleh arus laut.