Nur Jazlan: Waspada siar kandungan sensitif, kami ada permit anda

jazlan-1PETALING JAYA: Susulan isu kartun monyet, Datuk Nur Jazlan Mohamed memberi amaran kepada media supaya tidak menerbitkan kandungan sensitif dan memohon maaf kemudian kerana Kementerian Dalam Negeri (KDN) mempunyai permit penerbitan mereka, lapor Nanyang Siang Pau.

Timbalan menteri dalam negeri itu ketika menghadiri sebuah program di Johor Bahru semalam berkata, amaran itu tidak ditujukan kepada sebuah akhbar sahaja, tetapi semua syarikat media perlu mematuhi syarat dengan memastikan mereka tidak menyiarkan isu sensitif atau mampu menggugat keharmonian negara.

Ahli Parlimen Pulau itu berkata demikian susulan penerbitan kartun mempersendakan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, lebih seminggu lalu.

Pada 8 April lalu, ruang kartun akhbar berbahasa Cina itu memaparkan seekor monyet bersongkok dilabel sebagai “speaker” dan seekor lagi memakai serban dinamakan “Hadi Awang” bertenggek di sebatang pokok “Akta 355”, merujuk rang undang-undang persendirian Hadi untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965.

Kelmarin, Nur Jazlan ketika merasmikan sebuah majlis di Gelang Patah dilaporkan berkata, KDN tidak akan mengambil tindakan terhadap Nanyang Siang Pau kerana sudah menerima penjelasan dan permohonan maaf yang dikemukakan akhbar itu berhubung penyiaran kartun monyet terbabit.

Nur Jazlan berkata, tindakan tidak akan diambil terhadap akhbar itu, sebaliknya menyerahkan kepada syarikat terbabit untuk mengambil tindakan dalaman sewajarnya terhadap individu berkenaan.

Katanya, Nanyang Siang Pau ialah sebuah akhbar yang mempunyai sejarah lama dan kerajaan turut mempertimbangkan kepentingan serta peranan akhbar itu dan juga pekerjanya.

Bagaimanapun, beliau memberi amaran kepada akhbar itu supaya tidak mengulangi kesilapan sama.

Pada 11 April lalu, seramai 150 ahli Pemuda PAS mengadakan demonstrasi di ibu pejabat akhbar itu dengan mengemukakan 4 tuntutan, antaranya memohon maaf secara terus kepada Hadi.

Nanyang kemudian membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Pandikar dan Hadi di akhbarnya, serta mengeluarkan kartun itu dari laman webnya, eNanyang.my.

Walaupun dengan permohonan maaf itu, PAS melalui Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, mereka mungkin menyaman akhbar itu dan mendesak KDN mengkaji semula permit penerbitannya.

 

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/04/16/nur-jazlan-kerajaan-tak-ambil-tindakan-kartun-monyet-nanyang/

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/04/11/kdn-beri-nanyang-surat-tunjuk-sebab-panggil-ketua-pengarang/