Pejabat MB Kelantan dipecah masuk

pejabat-mb-kelantan
Imej lelaki yang dikatakan memecah masuk pejabat menteri besar Kelantan

KOTA BHARU: Pejabat Menteri Besar Kelantan dan Pejabat Perbendaharaan Kerajaan Kelantan di Kompleks Kota Darul Naim di sini, dipecah masuk penceroboh dalam kejadian dipercayai berlaku pada malam tadi.

Setiausaha Sulit Menteri Besar Kelantan Syazwan Mohd Hasan ketika dihubungi mengesahkan mengenai kejadian dan memberitahu ia hanya disedari pada pagi ini oleh pengawal keselamatan yang bertugas.

“Susulan kejadian itu satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Kota Bharu di sini, kira-kira 9.30 pagi tadi.

“Siasatan awal mendapati sejumlah wang tunai didapati hilang daripada tempat simpanan dan dipercayai diambil oleh penceroboh berkenaan,” katanya.

Syazwan berkata bagaimanapun tiada sebarang dokumen dilaporkan hilang dalam kejadian itu.

Sementara itu pemangku Ketua Polis Kelantan SAC Din Ahmad mengesahkan menerima laporan polis berhubung kejadian itu.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana memecah masuk ke dalam bangunan dan sebarang perkembangan akan diberitahu kemudian.